Topik diikuti
Pergi ke BHkuSistem amaran Saudi tidak berbunyi sebelum lapangan terbang diserang
Sistem amaran Saudi tidak berbunyi sebelum lapangan terbang diserang
RIYADH: Arab Saudi berhenti mengeluarkan amaran awam mengenai serangan ketenteraan yang bakal berlaku, beberapa hari sebelum rentetan serangan maut ke atas lapangan terbang Riyadh yang membunuh sekurang-kurangnya 18 orang dan mencederakan lebih 300 yang lain.
Kerajaan Arab Saudi masih belum menjelaskan mengapa tiada amaran dikeluarkan kepada orang ramai sebelum empat serangan yang melanda Riyadh sepanjang minggu lalu.
Amaran awal yang dikeluarkan sebelum ini secara tidak langsung mendedahkan keganasan yang akan berlaku, sekali gus menjejaskan usaha kerajaan Arab Saudi untuk menampilkan imej negara yang aman kepada rakyatnya serta dunia, ketika negara itu berperang dengan kumpulan Houthi dari Yaman.
Menurut empat pegawai Barat dan Arab di rantau itu serta beberapa penganalisis politik, ketiadaan amaran awal sebelum serangan terhadap lapangan terbang berkenaan menimbulkan persoalan mengenai keupayaan Arab Saudi dalam menghadapi keganasan dan melindungi penduduk serta pelancong.
“Mereka (kerajaan Arab Saudi) mahu kedua-duanya sekali iaitu melancarkan operasi ketenteraan dan pada masa yang sama cuba memberi keyakinan kepada penduduk dan pihak berkepentingan luar,” kata Encik Sultan Alamer, ahli akademik Saudi yang berpangkalan di Amerika dan Felo Kanan Residen di Majlis Dasar Timur Tengah.
Pertahanan Awam Arab Saudi, agensi nasional yang bertanggungjawab mengeluarkan amaran awal, serta pejabat media kerajaan Arab Saudi, tidak menjawab soalan melalui e-mel tentang sebab tiada amaran dikeluarkan.
Sesetengah penganalisis serantau berkata pendekatan Arab Saudi itu juga berisiko dan memakan diri kerana ketiadaan amaran meningkatkan ketidaktentuan dalam kerajaan itu.
Pada 12 Oktober, pihak berkuasa pertahanan awam Arab Saudi mengeluarkan amaran awal tentang ancaman yang berpotensi tercetus di Riyadh dan bandar selatan.
Reuters tidak dapat memastikan sama ada keputusan mengeluarkan semula amaran itu sebagai respons terhadap serangan ke atas lapangan terbang.
Kerajaan Arab Saudi juga tidak segera menjawab permintaan untuk mengulas perkara itu.
Semua negara Teluk telah menjadi sasaran serangan dron dan peluru berpandu Iran sejak perang antara Amerika Syarikat dengan Iran tercetus pada Februari lalu.
Namun, pendekatan kerajaan masing-masing dalam mengeluarkan amaran kepada orang ramai berbeza.
Kementerian Dalam Negeri Qatar mengeluarkan amaran menerusi telefon bimbit sebelum serangan berlaku, dengan menggesa penduduk supaya berlindung di dalam rumah dan menjauhi tingkap.
Bahrain dan Kuwait akan berulang kali membunyikan siren yang menggesa orang ramai untuk berlindung di tempat yang selamat.
Arab Saudi mengeluarkan amaran serangan menerusi telefon bimbit dan akaun media sosial.
Namun, sistem amaran itu tidak lagi mengeluarkan sebarang amaran meskipun serangan kumpulan Houthi semakin meningkat menjelang minggu lalu.
Amaran terakhir sebelum serangan minggu lalu dikeluarkan pada 29 September, untuk wilayah selatan Najran, menurut hantaran di akaun X pertahanan awam. – Reuters.