SAN JOSE: Selama lebih 40 tahun, Cik Lori Huang, setia berada di sisi suaminya, Encik Jensen Huang, ketika beliau membangunkan Nvidia daripada sebuah syarikat cip kecil sehingga menjadi antara syarikat paling bernilai di dunia.

Namun, di sebalik kejayaan luar biasa suaminya yang kini menjadi antara tokoh teknologi paling berpengaruh, Cik Lori, 64 tahun, memilih kehidupan sederhana dan jauh daripada perhatian umum.

Segala-galanya berubah apabila Encik Huang, 63 tahun, mengaku menjalin hubungan sulit dengan seorang eksekutif wanita yang dikenal pasti pemerintah Amerika Syarikat sebagai perisik China.

Pengakuan itu bukan sahaja mencetuskan persoalan mengenai keselamatan negara dan masa depan Nvidia, malah mengheret isteri serta dua anak mereka ke tengah-tengah kontroversi.

Dalam mesej kepada kakitangan Nvidia, Encik Huang memohon maaf kepada isterinya dan dua anak mereka, Cik Madison dan Encik Spencer, yang turut bekerja di syarikat itu.

Beliau turut meminta orang ramai agar menghormati privasi keluarganya.

“Keluarga saya tidak bertanggungjawab terhadap keputusan yang saya buat. Sayalah yang bertanggungjawab. Tolong hormati privasi mereka,” katanya.

Pendedahan tersebut mencetuskan spekulasi mengenai masa depan perkahwinan pasangan itu yang sudah mencecah 41 tahun.

Kontroversi berkenaan turut mendapat perhatian kerana kedudukan penting Nvidia sebagai pembekal utama cip yang digunakan dalam pembangunan kecerdasan buatan (AI).

Sebarang perkembangan yang menjejas kepimpinan syarikat itu berpotensi memberi kesan kepada industri teknologi dan pasaran saham dunia.

China bagaimanapun menolak dakwaan pengintipan tersebut, manakala eksekutif yang dituduh, Cik Alice Huang, belum memberikan sebarang maklum balas terhadap permintaan mendapatkan komen.

Nvidia juga enggan mengulas, sementara Cik Lori tidak memberikan respons.

Isteri pilih kehidupan peribadi

Berbeza daripada pasangan tokoh teknologi terkenal lain, Cik Lori jarang muncul dalam wawancara atau berbicara secara terbuka mengenai kegiatan kebajikannya.

Bekas penulis ruangan gosip akhbar, The Daily News, Encik George Rush, menyifatkan Cik Lori sebagai seorang yang luar biasa rendah hati berbanding pasangan jutawan lain.

“Lori seorang yang luar biasa sederhana jika dibandingkan dengan pasangan bilionair lain,” ujarnya.

Menurut beliau, skandal itu berbeza daripada kontroversi rumah tangga Pengasas Amazon, Encik Jeff Bezos, dan Pengasas Bersama Microsoft, Encik Bill Gates.

Ini kerana hubungan sulit Encik Huang bukan sekadar isu peribadi, malah boleh membawa kesan terhadap pasaran kewangan dan hubungan antarabangsa.

“Bezos dan Gates tidak menghadapi keadaan seperti ini, apabila sesuatu hubungan boleh menggerakkan pasaran dan membawa kesan ke seluruh dunia,” katanya.

Cik Lori kini mengetuai Yayasan Jen-Hsun Lori Huang yang memiliki aset bernilai AS$9 bilion ($11.5 bilion) sehingga 2024, termasuk dana baharu AS$6 bilion yang diterima pada tahun tersebut.

Beliau juga mempunyai pengaruh besar terhadap pegangan saham keluarga dalam Nvidia.

Daripada 922 juta saham Nvidia milik Encik Huang, lebih separuh dipegang menerusi sebuah amanah yang diuruskan bersama pasangan itu.

Cik Lori turut mengawal sepenuhnya sebuah lagi amanah yang memiliki saham Nvidia bernilai kira-kira AS$5 bilion.

Pengorbanan di sebalik kejayaan Nvidia

Hubungan pasangan itu bermula ketika mereka menuntut dalam bidang kejuruteraan di Universiti Negeri Oregon pada awal 1980-an.

Ketika itu, Cik Lori antara segelintir pelajar wanita dalam bidang tersebut.

Mereka menjadi pasangan makmal bagi kelas asas kejuruteraan elektrik sebelum Encik Huang mengajaknya belajar bersama setiap minggu.

Encik Huang pernah menyifatkan pertemuan dengan isterinya sebagai peristiwa paling penting sepanjang pengajiannya dan dalam kehidupannya.

Selepas menamatkan pengajian dan berkahwin, pasangan itu berpindah ke Lembah Silikon untuk bekerja sebagai jurutera reka bentuk cip.

Cik Lori bekerja di Silicon Graphics, manakala suaminya di syarikat semikonduktor, LSI Logic.

Kedua-duanya dikenali sebagai jurutera berbakat, malah pendapatan Cik Lori ketika itu lebih tinggi daripada suaminya.

Bagaimanapun, pasangan tersebut menghadapi kesukaran mendapatkan penjagaan anak yang sesuai.

Menurut buku biografi, ‘The Thinking Machine: Jensen Huang, Nvidia, and the World’s Most Coveted Microchip’ (Mesin Pemikir: Jensen Huang, Nvidia dan Cip Mikro Paling Diidamkan di Dunia), Cik Lori akhirnya meninggalkan kerjayanya untuk membesarkan kededua anak, tidak lama sebelum Nvidia diasaskan pada 1993.

Keputusan itu membolehkan Encik Huang menumpukan sepenuh perhatian kepada pembangunan syarikatnya.

Beliau pernah mengakui terpaksa melepaskan peluang menghadiri pertandingan karate anak-anaknya kerana terlalu sibuk bekerja.

Namun, menurutnya, isterinya tidak pernah merungut mengenai pengorbanan tersebut.

“Itulah hadiah yang diberikannya kepada saya,” katanya dalam wawancara podcast, ‘How I Built This With Guy Raz’, pada Mei lalu.

Dalam wawancara pada 2014, Encik Huang turut memuji keyakinan isterinya terhadap kebolehannya, termasuk ketika beliau sendiri meragui kemampuannya.

Menurutnya, Cik Lori sentiasa percaya beliau mampu berjaya sejak mereka berusia 18 tahun.

Sentiasa di sisi suami

Walaupun jarang menjadi tumpuan, Cik Lori sebenarnya sering menemani suaminya menghadiri persidangan teknologi, majlis makan malam rasmi dan acara kebajikan.

Antaranya termasuk majlis Persatuan Industri Semikonduktor di San Jose pada November 2021, apabila Encik Huang menerima anugerah tertinggi persatuan itu.

Ketika suaminya berbual dengan wartawan dan kemudian menerima anugerah di pentas, Cik Lori kekal di belakang tabir.

Beliau juga memainkan peranan dalam membentuk imej terkenal suaminya.

Bersama anak perempuan mereka, Cik Lori membantu memilih jaket kulit berjenama yang kini menjadi pakaian ikonik Encik Huang.

Kedua-dua anak pasangan itu, Cik Madison menyertai Nvidia pada 2020; diikuti Encik Spencer pada 2022.

Suami Cik Madison, Encik Nico Caprez, turut bekerja di syarikat berkenaan.

Bagi Cik Lori, selain menyokong kerjaya suaminya, beliau juga aktif menguruskan kegiatan kebajikan keluarga, termasuk sumbangan kepada Opera San Francisco, universiti dan pertubuhan bukan mencari keuntungan.

Yayasan keluarga itu juga menyediakan sumber pengkomputeran kepada institusi pendidikan dan pertubuhan kebajikan.

Dalam wawancara bersama CNA pada 2026, Encik Huang sekali lagi mengakui peranan besar isterinya sepanjang perjalanan Nvidia.

“Beliau menghadiri setiap persidangan, setiap ucapan dan setiap detik penting Nvidia. Beliau sentiasa berada di sana,” katanya.

“Lori sudah lama bersama saya, sepanjang kehidupan kami.” – Agensi berita.

“

Beliau menghadiri setiap persidangan, setiap ucapan dan setiap detik penting Nvidia. Beliau sentiasa berada di sana... Lori sudah lama bersama saya, sepanjang kehidupan kami.
Encik Jensen Huang, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Nvidia, mengenai isterinya, Cik Lori Huang.
Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti