BRUSSELS: Perkhidmatan Risik Belgium bekerja rapat dengan negara-negara Eropah yang lain selama lebih setahun untuk membongkar skandal rasuah yang kini menggegarkan Parlimen Eropah, kata kementerian kehakiman negara itu.
Pendakwa raya mengesyaki Anggota Parlimen Eropah (MEP) dari Greece, Eva Kaili, dan tiga yang lain, menerima rasuah daripada penganjur pertandingan bola sepak Piala Dunia, Qatar, dalam usaha mempengaruhi penggubalan dasar Kesatuan Eropah, dalam satu skandal terbesar yang melanda blok 27 negara itu.
Qatar dan Kaili menafikan sebarang salah laku.
"Kami telah bersikap terlalu lurus... terlalu lama," kata seorang jurucakap kementerian kehakiman, merujuk kepada apa yang disebutnya gerakan rahsia oleh kuasa asing di Belgium.
"Kami sekarang melengkapkan diri kami dengan lebih baik untuk menentang hal ini."
Jurucakap itu menyifatkan siasatan tersebut sebagai "satu kes besar dengan pihak Keselamatan Negara telah bekerja selama lebih setahun, bekerjasama dengan perkhidmatan risik negara lain, bagi mengumpulkan kegiatan rasuah yang dilakukan oleh MEP dari negara-negara berlainan."
Polis Belgium menyiarkan gambar wang tunai 1.5 juta Euro ($2.1 juta) yang ditemui dalam serbuan pada Jumaat dan Isnin lalu, termasuk sebuah beg pakaian penuh dengan wang kertas 50 Euro dan 100 Euro serta dua beg bimbit berisi wang kertas 50 Euro tersusun rapi.
Para penyiasat di Italy meneliti tujuh akaun bank milik mereka yang disyaki, kata satu sumber yang rapat dengan siasatan itu, sambil menambah mereka juga menemui wang tunai sejumlah 20,000 Euro di sebuah rumah milik seorang yang disyaki.
Mereka juga menggeledah sebuah pejabat di Milan, kata sumber itu.
Sementara itu, Kaili, yang kini ditahan setelah ditangkap minggu lalu, akan hanya mengetahui pada 22 Disember nanti, sama ada beliau akan terus ditahan sepanjang siasatan dijalankan, kata satu lagi sumber yang rapat dengan siasatan itu.
Peguamnya, Encik Michalis Dimitrakopoulos, berkata Kaili tegas mengatakan beliau tidak tahu tentang wang tunai yang ditemui itu.
Encik Dimitrakopoulos juga meminta sedikit masa lagi untuk membuat persiapan bagi perbicaraan terhadap penahanan Kaili, yang pada awalnya ditetapkan pada Rabu ini.
Tiga yang lain yang disyaki, telah ditangkap minggu lalu dan kini masih disoal siasat oleh sebuah panel tiga hakim.
Rakan Kaili, Francesco Giorgi, seorang penolong Parlimen akan terus ditahan.
Begitu juga dengan seorang bekas MEP dari Italy, Pier Antonio Panzeri, yang juga pengasas sebuah kumpulan kempen, kata pejabat pendakwa raya.
Seorang lagi, Niccolo Figa-Talamanca, setiausaha agung sebuah kumpulan kempen perundangan, dibebaskan daripada tahanan tetapi diwajibkan memakai tag pada buku lalinya.
Mereka dibenarkan membuat rayuan terhadap keputusan itu.
Agensi berita Reuters tidak dapat menghubungi Giorgi, Figa-Talamanca dan Panzeri atau peguam mereka bagi mendapatkan ulasan.
Pertubuhan bukan mencari untung tempat mereka bekerja pula tidak membalas e-mel yang dikirim.
Parlimen Eropah pada Selasa lalu mengundi untuk melucutkan keanggotaan Kaili, 44 tahun, dan menamatkan tugasnya selaku naib presiden.
Kaili juga didesak supaya berundur daripada semua peranannya dalam Parlimen itu. - Reuters.
"Kami telah bersikap terlalu lurus... terlalu lama.
"Kami sekarang melengkapkan diri kami dengan lebih baik untuk menentang hal ini."
- Jurucakap kementerian kehakiman, merujuk kepada apa yang disebutnya gerakan rahsia oleh kuasa asing di Belgium.