Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Skim vaksin Covid-19 bagi golongan termiskin punya baki $3.5b untuk belanja

Jun 27, 2023 | 3:48 PM
MASIH ADA TABUNGAN: Inisiatif Covax mempunyai baki AS$2.6 bilion ($3.5 bilion) dalam tabungnya dengan fasa kecemasan wabak semakin hampir berakhir.
MASIH ADA TABUNGAN: Inisiatif Covax mempunyai baki AS$2.6 bilion ($3.5 bilion) dalam tabungnya dengan fasa kecemasan wabak semakin hampir berakhir. - REUTERS

LONDON: Beberapa bilion dolar baki dalam skim untuk menyalurkan vaksin Covid-19 kepada golongan termiskin di dunia boleh dialihkan untuk bersiap sedia menghadapi pandemik lain atau untuk menyokong pembuatan vaksin di Afrika, kata rakan kongsi skim itu.

Inisiatif Covax, yang dikendalikan oleh Gavi, Perikatan Vaksin, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dan Pakatan untuk Inovasi Kesiapsiagaan Wabak (Cepi), mempunyai baki AS$2.6 bilion ($3.5 bilion) dalam tabungnya dengan fasa kecemasan wabak semakin hampir berakhir, menurut dokumen yang dilihat oleh agensi berita Reuters dan dua sumber dekat dengan skim itu.

Inisiatif itu dijangka berakhir pada penghujung tahun ini, walaupun beberapa kegiatannya akan diteruskan.

Dengan permintaan untuk vaksin Covid-19 semakin berkurangan, rakan kongsi itu kini sedang memikirkan cara terbaik untuk menggunakan baki wang – jumlah yang besar dalam konteks kesihatan sejagat – bersama para penderma sebenarnya.

Sekitar AS$600 juta telah disalurkan, sekali gus menjadikannya sebahagian daripada dana “luar jangkaan” sekiranya wabak itu mengancam semula.

Baki AS$2 bilion telah dikembalikan kepada Covax selepas pembuat ubat bersetuju untuk memberikan bayaran balik daripada perjanjian bagi vaksin yang dipersetujui semasa kemuncak wabak itu.

“Wang ini adalah sebagai instrumen luar jangkaan, agar kami dapat bertindak terhadap simpang-siur wabak itu,” kata Cik Marie-Ange Saraka-Yao, ketua mobilisasi sumber Gavi.

“Kami tidak mahu wang itu terbiar.”

Sekitar AS$700 juta mungkin akan digunakan bagi program vaksinasi Covid-19 yang diteruskan di negara yang disokong oleh Gavi, untuk 2024 dan 2025.

Pilihan ini akan dibincangkan oleh lembaga pengarah Gavi minggu ini.

Sebahagian daripada wang itu akan digunakan untuk suntikan penggalak tahun ini dan seterusnya.

Cik Saraka-Yao berkata para penderma, termasuk negara maju seperti Amerika Syarikat dan Jerman serta pertubuhan-pertubuhan dermawan seperti Yayasan Bill dan Melinda Gates, semuanya telah ditanya sama ada mereka mahukan baki wang itu dikembalikan pada mesyuarat Mac lalu. Tiada yang mahu.

Para penderma dan WHO tidak dapat dihubungi untuk memberikan komen.

Jurucakap Cepi berkata walaupun tiada keputusan muktamad dibuat mengenai dana itu, adalah perlu untuk “berhemat untuk terus bersedia” sekiranya situasi Covid-19 berubah, maupun untuk pandemik masa depan.

“Mereka mahu mengekalkan semangat niat politik ketika wang itu diberikan… untuk membantu melindungi seluruh dunia,” kata Cik Saraka-Yao. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg