Topic followed successfully
Go to BHkuSkrin gergasi jatuh semasa konsert di Hong Kong, 2 penari cedera
Skrin gergasi jatuh semasa konsert di Hong Kong, 2 penari cedera
Skrin gergasi jatuh semasa konsert di Hong Kong, 2 penari cedera
HONG KONG: Sekurang-kurangnya dua orang cedera pada malam Khamis (28 Julai) apabila skrin gergasi yang dipasang bagi konsert kumpulan Mirror di Hong Kong jatuh menghempap mereka.
Video kejadian tersebut yang tular menunjukkan sekumpulan penari berbaju putih sedang membuat persembahan di atas pentas di Hong Kong Coliseum apabila skrin gergasi yang dipasang atas mereka jatuh lalu menghempap seorang lelaki.
Skrin tersebut kemudian menghempap sekurang-kurangnya seorang lagi mangsa sebelum penari-penari lain bergegas membantu mereka.
Pengurus Mirror, Ahfa Wong, kemudian naik ke pentas untuk memohon maaf dan meminta penonton beredar, menurut klip video yang tersebar dalam talian.
Dua penari lelaki dibawa ke hospital dalam keadaan sedar sejurus selepas 10.30 malam waktu tempatan (10.30 malam waktu Singapura), lapor AFP.
Pada kira-kira tengah malam, Hospital Queen Elizabeth di Hong Kong berkata seorang lelaki yang mengalami kecederaan leher berada dalam keadaan serius, manakala seorang lagi berada dalam keadaan stabil selepas mengalami kecederaan kepala, lapor media Hong Kong.
Pemerintah Hong Kong telah menghentikan konsert Mirror sehingga struktur pentas itu terbukti selamat, kata Setiausaha Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Kevin Yeung dalam satu kenyataan lewat malam.
Penganjur konsert Music Nation dan MakerVille memohon maaf dalam satu kenyataan dan berkata mereka akan menyiasat insiden itu secara menyeluruh. - AFP

