Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sokongan, komitmen rakyat Kelantan perlu bagi realisasi agenda M'sia Madani: Anwar

May 13, 2023 | 4:57 PM
RESPONS BAIK: Ribuan pengunjung dikatakan membanjiri rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri di Kelantan yang dihoskan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 12 Mei.
RESPONS BAIK: Ribuan pengunjung dikatakan membanjiri rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri di Kelantan yang dihoskan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 12 Mei. - Foto: ST

KOTA BHARU: Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata sokongan dan komitmen kukuh rakyat Kelantan diperlukan bagi merealisasikan agenda Malaysia Madani.

Berucap di Rumah Terbuka Malaysia Madani di Stadium Sultan Muhammad IV di Kelantan, Datuk Seri Anwar berkata kerajaan yang bersatu menjamin hak rakyat, tidak kira agama atau bangsa, akan sentiasa dilindungi.

"Perlembagaan Federal, kedudukan orang Melayu, Islam sebagai agama rasmi negara ini dan para pemimpin Melayu akan sentiasa dijunjung.

"Kerajaan juga tidak akan berkompromi dengan rasuah dan amalan salah menerusi perlaksanaan pembaharuan tadbir urus dan dengan menumpukan kepada pemulihan ekonomi dalam menyokong dan menyedarkan agenda nasional bagi pembangunan Malaysia Madani," katanya.

Acara itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Datuk Seri Anwar berkata kerajaan akan sentiasa bertindak secara adil dan tidak akan mengenepikan mana-mana negeri meskipun ada perbezaan ideologi politik bagi memastikan keselesaan dan kesejahteraan masyarakat.

"Banyak usaha telah dilakukan oleh Kerajaan Perpaduan bagi membaiki ekonomi dan piawai kehidupan rakyat di Kelantan tahun ini, seperti dengan mempertingkatkan akses kepada kemudahan perubatan bagi rakyat setempat dan mengurangkan kesesakan di kemudahan kesihatan yang sedia ada.

"Kerajaan akan memperbaiki dan menaik taraf klinik-klinik kesihatan Kelantan termasuk di Bachok, Gua Musang, Jeli, Kota Bharu, dan Kuala Krai yang berjumlah 38 kemudahan dengan kos keseluruhan sebanyak RM9.3 juta ($2.8 juta)," katanya.

Datuk Seri Anwar berkata kerajaan juga amat bimbang dengan kekerapan banjir yang membelenggu penduduk Kelantan, sambil menambah bahawa sejumlah kajian telah dijalankan dalam usaha mencari jalan untuk menyelesaikan isu tersebut.

"Tambahan lagi, binaan Jambatan Palekbang akan menjadi pemangkin bagi pembangunan di Tumpat dan terus mendorong pembangunan Kota Bharu.

"Pembinaan bagi jambatan berkabel dengan dua laluan sepanjang 1.29 kilometer itu dijadualkan selesai pada 2025," katanya. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg