Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

S'pura gesa Suu Kyi dibebas bersama tahanan politik lain

Dec 08, 2021 | 05:30 AM



SINGAPURA telah meminta supaya pemimpin pemerintah awam Myanmar yang digulingkan, Cik Aung San Suu Kyi, dibebaskan bersama tahanan politik lain.



Ia juga menggesa pihak tentera Myanmar untuk mengelak tindakan yang boleh menjejas perdamaian nasional dan pemulihan keamanan dan kemantapan di Myanmar.



Dalam satu kenyataan semalam sebagai respons kepada pertanyaan media, seorang jurucakap Kementerian Ehwal Luar (MFA) berkata Singapura kekal amat prihatin dengan perkembangan terkini di Myanmar dan kecewa dengan kurangnya kemajuan ketara dalam pelaksanaan Konsensus Lima Perkara Asean.



"Kami mengulangi gesaan kami untuk menghentikan keganasan, (diadakan) dialog yang membina dalam kalangan semua pihak, dan menggesa pihak berkuasa tentera Myanmar agar bekerjasama dengan Duta Khas Pengerusi Asean bagi Myanmar untuk melaksanakan dengan pantas dan sepenuhnya Konsensus Lima Perkara itu, termasuk memudahkan lawatan duta khas itu ke Myanmar bagi bertemu dengan semua pihak berkenaan.



"Singapura juga menggesa agar semua tahanan politik dibebaskan termasuk Aung San Suu Kyi, U Win Myint (bekas presiden Myanmar) serta tahanan asing, dan agar pihak berkuasa tentera Myanmar mengelak tindakan yang boleh menjejas perdamaian nasional dan pemulihan keamanan dan kemantapan di Myanmar," ujar jurucakap itu.



Kelmarin, Cik Suu Kyi, 76 tahun, dijatuhkan hukuman penjara empat tahun kerana menyebar hasutan terhadap tentera dan gagal mematuhi peraturan berkaitan Covid-19.



Ketua junta tentera Myanmar, Jeneral Min Aung Hlaing, kemudian telah mengurangkan hukuman penjara itu kepada dua tahun.



Ini adalah keputusan pertama mahkamah dalam siri tuduhan yang dikenakan terhadap beliau oleh rejim tentera negara itu, lapor The Straits Times.



Encik Win Myint, juga pada mulanya dijatuhkan hukuman penjara empat tahun atas tuduhan sama, namun juga dikurangkan hukuman penjara kepada dua tahun.



Mereka akan menjalani tahanan di rumah di Naypyidaw.



Cik Suu Kyi, yang mengetuai parti Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) yang memerintah dahulu, telah ditahan di lokasi yang tidak didedahkan sejak rampasan kuasa.



Beliau pernah menghabiskan kira-kira 15 tahun di bawah tahanan rumah semasa episod awal pemerintahan tentera Myanmar sebelum ini.



Sementara itu, penyokong beliau percaya semua tuduhan adalah palsu yang digunakan untuk menamatkan kerjaya politiknya.



"Kami sudah tahu mereka tidak akan melepaskannya. Jadi kami perlu bertindak, untuk membebaskan beliau sendiri," tulis pengguna Facebook Aung Thiha dalam bahasa Burma selepas keputusan itu.



Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Antony Blinken kelmarin menggesa agar Cik Suu Kyi dibebaskan.



Menggunakan nama bekas Myanmar, beliau berkata:



"Sabitan tidak adil rejim tentera Burma terhadap Aung San Suu Kyi dan penindasan pegawai lain yang telah dipilih secara demokratik adalah bukti penghinaan terhadap demokrasi dan keadilan di Burma."



Di Beijing pula, jurucakap Kementerian Luar China, Encik Zhao Lijian, berkata sebagai menjawab pertanyaan media mengenai keputusan itu:



"Kami amat berharap semua pihak di Myanmar akan, demi kepentingan jangka panjang negara itu, merapatkan jurang perbezaan mereka, di bawah rangka kerja Perlembagaan dan undangundang serta terus mempromosi proses peralihan demokrasi yang diraih secara susah payah yang sesuai dengan keadaan negara Myanmar."




"Singapura juga menggesa agar semua tahanan politik dibebaskan termasuk Aung San Suu Kyi, U Win Myint (bekas presiden Myanmar) serta tahanan asing, dan agar pihak berkuasa tentera Myanmar mengelak tindakan yang boleh menjejas perdamaian nasional dan pemulihan keamanan dan kemantapan di Myanmar."
- Jurucakap Kementerian Ehwal Luar Singapura.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >