GLASGOW: Singapura, pada Khamis (4 Nov) menyertai satu pakatan antarabangsa yang bertujuan menggalak peralihan penggunaan tenaga dari arang kepada pilihan lebih bersih.
Mengumumkan keanggotaan Singapura dalam Persekutuan Kuasa Meninggalkan Arang (PPCA) itu di perudingan iklim COP26, Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu berkata melalui pesanan video:
“Membakar arang mendedahkan berbilion orang kepada risiko dalam masa terdekat. Ini sebabnya Singapura memutuskan untuk menyertai PPCA."
Dalam kenyataan bersama, Sekretariat Perubahan Iklim Nasional, Kementerian Kemampanan dan Sekitaran dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan berkata dengan penyertaan itu, Singapura telah memberi komitmen untuk terus mengurangkan penggunaan arang tanpa mengurangkan pelepasan karbon ke udara dalam menghasilkan elektrik menjelang 2050. Pemerintah juga akan mengekang pembiayaan langsung bagi arang sedemikian di medan antarabangsa.
PPCA dianggotai oleh negara-negara, bandar, wilayah dan perniagaan. Singapura adalah negara pertama dari Asia untuk menyertainya, kata persekutuan itu dalam kenyataannya.
Dua puluh lapan anggota baru, termasuk Chile, Bank HSBC dan syarikat tenaga dari Canada TransAlta menyertai PPCA pada 4 Nov, menambah jumlah anggota kepada 165.
Dalam separuh pertama tahun ini, sekitar 95 peratus bekalan elektrik di Singapura dihasilkan menggunakan gas asli, hasil paling bersih dari bahan api fosil.
Arang merangkumi 1.2 peratus, sementara diesel dan minyak bahan api merangkumi 0.6 peratus. Lagi 3.2 peratus bekalan elektrik dihasilkan dari sisa umum dan sisa haiwan dan tanaman, serta tenaga suria, mengikut perangkaan dari Penguasa Pasaran Tenaga (EMA).