BANK dan institusi kewangan lain di sini akan dilarang melakukan perniagaan dengan empat bank Russia sebagai sebahagian sekatan yang dikenakan Singapura untuk melumpuhkan ekonomi Russia ekoran pencerobohannya ke atas Ukraine.
Sekatan itu juga akan melibatkan larangan ke atas eksport sesetengah barangan ke Russia, termasuk elektronik, komputer dan barangan ketenteraan, kata Kementerian Ehwal Luar (MFA), yang memberi butiran lanjut mengenai sekatan itu hari ini (5 Mac) buat kali pertama sejak ia diumumkan Isnin lalu.
“Sekatan ini bertujuan mengekang keupayaan Russia untuk melakukan perang terhadap Ukraine dan menjejas kedaulatannya,” kata MFA.
Russia menyerang negara jiran Ukraine pada 24 Februari selepas berlakunya ketegangan di sempadan selama beberapa bulan, dengan tentera Russia berkumpul dan menjalankan latihan kententeraan.
Tindakannya telah dikecam secara meluas oleh negara-negara di dunia, termasuk Singapura.
MFA berkata institusi kewangan akan dilarang daripada melakukan urus niaga atau menubuhkan hubungan perniagaan bersama empat bank Russia berikut:
- VTB Bank Public Joint Stock Company
- The Corporation Bank for Development and Foreign Economic Affairs Vnesheconombank
- Promsvyazbank Public Joint Stock Company
- Bank Rossiya
“Di mana terdapat hubungan perniagaan yang wujud, institusi kewangan mesti membekukan sebarang aset dan dana empat bank ini,” kata MFA.
Kementerian itu menambah bahawa penyedia khidmat token bayaran digital secara khususnya dilarang daripada memudahkan urus niaga yang boleh membantu untuk memintasi langkah-langkah kewangan ini.