Singapura telah menyertai Perikatan Global WeProtect (WPGA), satu kerjasama awam dan privet bebas bertujuan membasmi eksploitasi dan penderaan seksual kanak-kanak dalam talian (OCSEA) menerusi satu gerakan kempen sedunia.
Menteri Negara Kanan (Pembangunan Negara merangkap Ehwal Luar), Cik Sim Ann, mengetuai satu delegasi ke Sidang Puncak Global WPGA 2022 di Brussels, Belgium pada 1 hingga 2 Jun lalu.
Dalam lawatan itu, Cik Sim telah membincangkan cara untuk memperkukuhkan kerjasama antarabangsa terhadap (OCSEA) serta berkongsi usaha Singapura dalam mengatasi isu itu.
Menurut kenyataan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada Sabtu (4 Jun), Singapura menyertai 200 pemerintah, syarikat dan persatuan masyarakat sivil lain dalam usaha mewujudkan sekitaran dalam talian yang lebih selamat untuk kanak-kanak.
Sebagai anggota, Singapura akan menyumbang kepada usaha perikatan itu berhubung Penilaian Ancaman Global mengenai OCSEA di samping berkongsi amalan terbaik.
“Penyertaan kami juga akan memastikan Singapura mengikuti perkembangan teknologi dan cabaran baru mengenai OCSEA,” jelas MHA.
Persidangan itu yang dianjurkan buat kali ketiga dihoskan bersama oleh Suruhanjaya Eropah dan WPGA.