Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S'pura sumbang lebih 120,000 dos vaksin Covid-19 kepada Johor

MB: Tanda hubungan rapat antara negeri dan SG
Sep 7, 2021 | 5:30 AM
SUMBANGAN NEGARA JIRAN: Singapura akan menyumbang lebih 100,000 dos vaksin Covid-19 keluaran firma Pfizer-BioNTech kepada Johor, kata Menteri Besar Dato' Hasni Mohammad, semalam. - Foto REUTERS
SUMBANGAN NEGARA JIRAN: Singapura akan menyumbang lebih 100,000 dos vaksin Covid-19 keluaran firma Pfizer-BioNTech kepada Johor, kata Menteri Besar Dato' Hasni Mohammad, semalam. - Foto REUTERS -

JOHOR BAHRU: Pemerintah Singapura akan menyumbang lebih 100,000 dos vaksin Covid-19 keluaran firma Pfizer-BioNTech kepada Johor, kata Menteri Besar Dato' Hasni Mohammad semalam (Sep 6).

Menjawab pertanyaan tentang bekalan vaksin pada sidang Dewan Undangan Negeri, beliau berkata:

"Sebagai tanda hubungan rapat antara negeri Johor dan Singapura, Pemerintah Singapura telah menyumbang 20,000 dos vaksin Sinovac pada 29 Julai lalu.

"Dalam jangka pendek, Pemerintah Singapura akan menyumbang 100,640 dos vaksin Pfizer kepada kerajaan Negeri Johor," tambahnya.

Beliau juga berkata kerajaan Johor telah menerima 300,000 dos vaksin SinoPharm yang diderma oleh Amiriah Arab Bersatu (UAE).

Dato' Hasni mengucapkan terima kasih kepada mantan menteri luar Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, bagi usahanya dalam memperoleh dan memudahkan proses penerimaan vaksin.

Datuk Seri Hishamuddin sekarang Menteri Pertahanan dalam Kabinet yang dipimpin Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menteri Besar itu juga berkata vaksin "adalah satu komponen penting" dalam strategi Johor keluar daripada pandemik Covid-19.

Oleh itu, kerajaan Johor telah menggariskan sasaran memastikan 100 peratus penduduk dewasa negeri itu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin menjelang 16 September dan dua dos menjelang minggu ketiga Oktober.

Menurut Jawatankuasa Khas berkenaan Bekalan Vaksin Covid-19 Malaysia, 53.5 peratus penduduk dewasa di Johor telah divaksinasi sepenuhnya hingga kelmarin, sementara 84.3 peratus penduduk dewasa telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Dato' Hasni menambah bahawa antara 1 Mac dan 5 September lalu, Johor telah menerima lebih 4.7 juta dos vaksin di bawah program imunisasi kebangsaan, di mana kira-kira 2.4 juta dos adalah keluaran Pfizer, sekitar 1.8 Sinovac dan kira-kira 410,000 vaksin keluaran AstraZeneca.

"Vaksin yang diterima merangkumi keluaran Pfizer sebanyak 2,460,510 dos, vaksin Sinovac sebanyak 1,842,540 dos dan AstraZeneca sebanyak 410,750 dos," katanya.

Beliau turut menyatakan bagi meringankan beban kerja Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ), pelbagai inisiatif dan kerjasama strategik diambil pelbagai agensi kerajaan.

Ia termasuk oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPAM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

"Dalam aspek pendaftaran program vaksinasi, kerajaan Johor menggerakkan sukarelawan Southern Volunteer dan juga program serta kempen dilaksanakan Pejabat Daerah, penghulu dan Jabatan Perpaduan.

"JKNJ juga melancarkan inisiatif Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) secara virtual bagi mengurangkan kesesakan di semua 11 CAC fizikal yang beroperasi di Johor sekali gus mengurangkan bebanan petugas," katanya.

Pada 1 September, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim, memaklumkan bahawa Johor akan menerima sebanyak 1.9 juta dos vaksin Covid-19 bulan ini.

Tunku Ismail dalam satu pos di akaun Facebook beliu berkata daripada jumlah dos vaksin itu, 1.76 juta adalah vaksin keluaran Pfizer dan BioNTech. - BHM.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg