Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Sri Lanka hadapi perintah darurat

Tindakan dibuat ekoran Presiden Gotabaya Rajapaksa larikan diri ke Maldives
Jul 14, 2022 | 05:30 AM



COLOMBO: Polis Sri Lanka melaksanakan perintah darurat di seluruh Wilayah Barat, termasuk ibu kota Colombo, untuk membendung bantahan yang semakin meningkat selepas presiden negara itu, Encik Gotabaya Rajapaksa, melarikan diri ke Maldives dengan menaiki pesawat tentera.



"Terdapat bantahan berterusan di luar pejabat perdana menteri di Colombo dan kami perlukan perintah darurat untuk mengawal keadaan," kata seorang pegawai kanan polis



Ribuan penunjuk perasaan telah cuba memasuki pejabat perdana menteri, mendorong polis melepaskan gas pemedih mata untuk menahan mereka daripada menceroboh kawasan itu.



Sebelum ini, Encik Rajapaksa telah melarikan diri dari negara itu semalam, beberapa jam sebelum beliau dijadual berundur selepas bantahan meluas berhubung pengendalian krisis ekonomi pulau itu.



Beliau, isteri dan dua pengawal peribadinya meninggalkan lapangan terbang antarabangsa utama berhampiran Colombo dengan menaiki pesawat tentera udara Sri Lanka, kata tentera udara dalam satu kenyataan.



Satu sumber pemerintah dan orang yang rapat dengan Encik Rajapaksa menyatakan beliau mendarat di Male, ibu kota Maldives.



Beliau berkemungkinan besar akan meneruskan perjalanan ke negara Asia lain dari situ, kata sumber pemerintah itu.



Penerbangan presiden itu sekali gus menamatkan pemerintahan keluarga Rajapaksa yang telah berkuasa dan mendominasi politik di negara Asia Selatan itu sejak dua dekad lalu.



Bantahan terhadap krisis ekonomi telah membara selama berbulan lamanya dan memuncak pada hujung minggu lalu apabila ratusan ribu orang mengambil alih bangunan utama pemerintah di Colombo, dan menyalahkan keluarga Rajapaksa dan sekutu mereka berkaitan inflasi yang melonjak tinggi, rasuah dan kekurangan serius bahan tenaga dan ubat.



Awal dari itu, ketika berita tentang penerbangan presiden tersebar, ribuan orang berkumpul di tapak bantahan utama di Colombo sambil melaungkan "Gota pencuri, Gota pencuri", merujuk kepadanya nama presiden.



Encik Rajapaksa tidak kelihatan di khalayak ramai sejak Jumaat lalu.



Sumber dalam parti pemerintah berkata Encik Rajapaksa dijadual menghantar surat peletakan jawatan semalam.



Ini akan menjadikan perdana menteri, Encik Ranil Wickremesinghe, sebagai pemangku presiden, walaupun beliau juga menawarkan untuk meletak jawatan. Mengikut perlembagaan, jika beliau berbuat demikian, speaker parlimen akan menjadi pemangku presiden sehingga presiden baru dipilih.



Namun, satu kenyataan daripada pemimpin bantahan telah memberi amaran tentang "satu pertarungan sengit" jika Encik Wickremesinghe tidak meletak jawatan menjelang semalam.



"Jika kami tidak mendengar tentang peletakan jawatan presiden dan perdana menteri menjelang petang Rabu, kami mungkin perlu berkumpul semula dan mengambil alih parlimen atau bangunan pemerintah lain," kata Encik Buddhi Prabodha Karunaratne, salah seorang penganjur bantahan.



"Kami menentang keras pemerintah Gota-Ranil. Kedua-duanya perlu pergi."



Sri Lanka, sebuah kepulauan di Lautan Hindi, dianggarkan mempunyai 21.59 juta penduduk.



Di tengah-tengah kekacauan ekonomi dan politik itu, harga bon Sri Lanka mencecah paras terendah yang baru semalam.



Kedutaan Amerika Syarikat di Colombo, yang terletak di daerah tengah bandar itu, pula menyatakan pihaknya telah membatalkan perkhidmatan konsular semalam dan hari ini (14 Jul) sebagai langkah berjaga-jaga.



Pemerintahan keluarga Rajapaksa telah melaksanakan pemotongan cukai populis pada 2019 yang menjejas kewangan pemerintah sedang rizab asing merosot mengekang import bahan tenaga, makanan dan ubat.



Petrol telah dicatu dengan orang ramai beratur panjang di kedai menjual gas memasak.



Inflasi utama mencecah 54.6 peratus bulan lalu dan bank pusat telah memberi amaran bahawa ia boleh meningkat kepada 70 peratus dalam beberapa bulan mendatang.



Encik Mahinda Rajapaksa, abang presiden, sebelum ini meletak jawatan sebagai perdana menteri pada Mei lalu selepas bantahan terhadap keluarga itu bertukar ganas. - Reuters.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >