
DAKWAAN bekas menteri kesihatan Malaysia, Encik Khairy Jamaluddin, mengenai kewujudan 'perwakilan import' di perhimpunan agung Umno 2022 baru-baru ini mungkin antara topik utama yang akan dibincangkan majlis kerja tertinggi parti itu hari ini.
Status keanggotaan Encik Khairy dalam Umno akan diputuskan oleh mesyuarat majlis kerja itu, menurut sumber.
Difahamkan bahawa lembaga disiplin Umno mengadakan mesyuarat pengurusan bagi membincangkan status keanggotaan pimpinan Umno yang berdepan 'masalah disiplin'.
Selain status Encik Khairy, Tan Sri Noh Omar juga dipercayai akan dipanggil oleh lembaga disiplin.
Namun pada lewat malam kelmarin, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata tiada mesyuarat majlis tertinggi malam kelmarin.
"Tiada apa-apa mesyuarat hari ini (lewat malam kelmarin)," katanya melalui satu pesanan WhatsApp,
Kelmarin, Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan, sekadar berkata kedudukan Encik Khairy, bekas Ahli Parlimen Rembau, dibincangkan petang kelmarin, namun tiada sebarang kenyataan dikeluarkan selepas itu.
Dipercayai bahawa lembaga disiplin Umno telah memutuskan keputusan berhubung tindakan, namun kata putus akan dimaklumkan secara rasmi oleh majlis tertinggi dan difahamkan mesyuarat majlis itu akan diadakan hari ini.
Sebelum ini, Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata lembaga disiplin parti itu akan meneliti tindakan terhadap Encik Khairy kerana menyebarkan dakwaan yang dikatakan adalah palsu.
Encik Khairy mendakwa ada usaha membawa masuk 'perwakilan import' bagi memastikan usul jawatan presiden dan timbalan presiden Umno tidak dipertandingkan pada pemilihan parti itu diluluskan semasa prehimpuan agung 2022. Usul itu diluluskan.
Beliau juga menyokong beberapa anggota Umno yang membuat aduan kepada Pejabat Pendaftaran Pertubuhan (RoS) terhadap keputusan Umno mengekalkan dua jawatan tertinggi parti itu.
Encik Khairy juga dengan lantang mengkritik tindakan lebih 100 ketua bahagian Umno sebulat suara tidak mahu jawatan presiden dan timbalan presiden dipertandingkan.
Beliau menyifatkannya ia sebagai 'kegilaan' dan percubaan menyekat demokrasi.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg