Topik diikuti
Pergi ke BHkuSuami, isteri, anak, puluhan kawan, ribuan rakyat Afghanistan lahir pada hari sama - 1 Januari
Suami, isteri, anak, puluhan kawan, ribuan rakyat Afghanistan lahir pada hari sama - 1 Januari

Suami, isteri, anak, puluhan kawan, ribuan rakyat Afghanistan lahir pada hari sama - 1 Januari
KABUL: 1 Jan hari lahir Samad Alawi. Ia juga hari jadi isterinya, dua anak mereka, 32 kawannya dan beribu-ribu orang Afghanistan lain.
Sebenarnya, tarikh itu dipilih demi kemudahan sahaja oleh generasi rakyat Afghanistan yang tidak tahu bila mereka dilahirkan.
Disebabkan tiada sijil kelahiran atau rekod rasmi, ramai orang Afghanistan telah lama menggunakan musim atau peristiwa sejarah untuk membantu menentukan umur mereka.
Tetapi letupan rangkaian media sosial seperti Facebook, yang memerlukan pengguna mendaftarkan tarikh lahir mereka, dan permintaan semakin meningkat bagi pasport dan visa memaksa rakyat Afghanistan memilih satu hari - sembarang hari - sebagai tarikh lahir mereka.
1 Jan menjadi pilihan umum, lebih disebabkan tujuan praktikal.
"Seolah-olah semua rakyat Afghanistan lahir pada 1 Januari," kata Samad Alawi, berusia 43 tahun.
Malah mereka yang tahu tarikh kelahiran mereka sering memilih 1 Jan kerana tidak mahu menghadapi kerumitan menukar hari jadi mereka daripada kalendar Hijrah, yang hanya digunakan di Afghanistan dan Iran.
"Apabila saya mula membuat akaun Facebook pada 2014, lebih mudah memilih 1 Januari sebagai hari jadi saya," kata Alawi kepada AFP.
"Internet juga perlahan dan sukar untuk menukar tarikh ke kalendar Barat."
Malah kad pengenalan rasmi, atau tazkira, yang dipegang oleh kebanyakan rakyat Afghan tidak memberi kejelasan rasmi, dengan umur seseorang "ditentukan berdasarkan rupa fizikal".
"Tazkira saya berkata saya berusia tiga tahun pada tahun 1365 Hijrah (1986). Itulah tahun tazkira saya dikeluarkan," kata Abdul Hadi, yang kini berusia 34 tahun, kepada AFP.
"Tidak ada ruangan untuk tarikh kelahiran di tazkira Afghanistan. Bagaimana anda dapat ingat tarikh lahir anda jika anda tidak mempunyai rekodnya?"
Pihak berkuasa cuba mengubah keadaan itu.
Pada tahun-tahun kebelakangan ini, hospital di bandar-bandar utama Afghanistan telah mula mengeluarkan sijil kelahiran bagi bayi yang baru dilahirkan - sesuatu yang tidak dilakukan bagi generasi lampau.
Pemerintah juga merancang mengeluarkan e-Tazkira, atau kad pengenalan national menggunakan komputer, yang termasuk tarikh lahir, jika diketahui.
Tetapi prosesnya terhenti bertahun-tahun disebabkan masalah politik dan teknikal.
Dek ketiadaan rekod rasmi, beberapa ibu bapa berpendidikan mencuba merekodkan hari lahir anak mereka pada kertas yang kemudian sering disimpan dalam Al-Quran. - AFP.