Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

INDONESIA

Gempa kuat landa barat Sumatera

Gegaran, dengan perabot bergoyang, turut dirasai di S'pura, M'sia
Apr 26, 2023 | 05:30 AM



PADANG: Satu gempa bumi kuat berukuran 7.3 magnitud melanda barat Sumatera di Indonesia awal pagi Selasa, dengan gegaran turut dirasai di Singapura dan Malaysia.



Gempa itu berlaku sekitar 3 pagi waktu tempatan (4 pagi waktu Singapura) pada kedalaman 84 kilometer, mencetuskan amaran tsunami selama kira-kira dua jam, kata Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofisika (BMKG) Indonesia.



Kejadian itu turut memaksa penduduk melarikan diri ke tempat lebih tinggi sebelum amaran tsunami ditarik balik.



Pusat gempa itu di laut berhampiran kepulauan Mentawai.



"Gempa itu sangat kuat hingga kami sukar berdiri dan berjalan di luar. Kami terkial-kial untuk keluar rumah, dan kami terpaksa pegang dinding," kata Encik Patriz Sanene, 34 tahun, seorang penduduk Pulau Siberut, pulau terbesar di Mentawai.



"Ini adalah gempa paling kuat tahun ini. Saya fikir mungkin akan ada tsunami. Alhamdulillah tiada tsunami."



Ketua BMKG, Encik Daryono, memberitahu penduduk "di kawasan berpotensi tsunami agar bertenang dan mengelakkan kawasan pantai".



Data BMKG menunjukkan gegaran susulan turut dikesan, dengan satu gegaran bermagnitud 5 pada skala Richter.



Sejauh ini tiada korban jiwa dilaporkan.



Pihak berkuasa tempatan pada mulanya mengarahkan penduduk di kawasan terjejas, termasuk Padang di Sumatera, berpindah dari pantai, lapor media Indonesia.



Mereka berkata gempa itu turut dirasai di bandar pantai tersebut, yang sekitar 200 kilometer dari pusat gempa.



Di Singapura, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) mengesan gempa bumi bermagnitud 6.7 pada 4 pagi Selasa, sekitar 620 kilometer ke barat daya negara ini.



Divisyen perkhidmatan meteorologi menyatakan Singapura tidak mungkin terjejas oleh tsunami yang mungkin dijana berhampiran kawasan pusat gempa.



Pengguna media sosial di Singapura dan Malaysia turut melaporkan merasai gegaran berterusan lebih seminit dengan kejadian perabot "bergoyang".



"Saya berada di balkoni (tingkat 28) dan buat seketika saya fikir kerusi saya miring... Agak terkejut dan tidak boleh tidur lagi," kata seorang pengguna di platform media sosial Reddit di Singapura.



Gegaran turut dirasai di Semenanjung Malaysia, kata Jabatan Meteorologi Malaysia pada Selasa.



Jabatan itu cuba mendapatkan maklumat daripada penduduk tempatan yang mungkin merasai gegaran susulan daripada gempa itu, sambil menambah bahawa gempa itu tidak menimbulkan ancaman tsunami ke atas Malaysia.



Indonesia sering mengalami gempa kerana kedudukannya di Lingkaran Api Pasifik, di mana plat tektonik sering bertembung.



Pada 2004, satu gempa bumi berukuran 9.1 magnitud berlaku di wilayah Aceh di Sumatera, menyebabkan tsunami dan membunuh lebih 170,000 orang di Indonesia. - AFP, ST.




SUKAR BERDIRI



"Gempa itu sangat kuat sehingga kami sukar berdiri dan berjalan di luar. Kami terkial-kial untuk keluar rumah, dan kami terpaksa pegang dinding."
- Encik Patriz Sanene, penduduk Pulau Siberut, pulau terbesar di Mentawai.




KERUSI 'MIRING' 



"Saya berada di balkoni (tingkat 28) dan buat seketika saya fikir kerusi saya miring... Agak terkejut dan tidak boleh tidur lagi."
- Seorang pengguna di platform media sosial Reddit di Singapura.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >