JAKARTA: Jauh sebelum ‘demam K-Pop’ melanda Indonesia, telah lama muncul Kampung Korea di Kota Baubau, di Pulau Buton, Sulawesi Tenggara.
Para penduduk di situ menggunakan bahasa Cia-Cia yang menggunakan abjad set aksara Korea iaitu Hangul, yang hanya meliputi huruf yang digunakan dalam penulisan.
Ia terhasil apabila tiada padanan huruf yang sesuai dalam kalangan masyarakat Cia-Cia hingga menjadikan sebuah daerah kecil di Indonesia itu terkenal di dunia.
Abjad Hangul ini dipercayai digunakan 93,000 masyarakat Cia-Cia di Kota Baubau.
Bahasa Cia-Cia Buton atau bahasa Buton Selatan adalah sejenis bahasa Austronesia yang menjadi bahasa tutur masyarakat tempatan yang tidak memiliki budaya menulis.
Mereka tidak mempunyai tulisan yang mampu mewakili bahasa suku Cia-Cia.
Kemahiran menulis masyarakat Cia-Cia hanya dimiliki orang lama yang membuat torehan pada sepotong papan kayu atau kertas sebagai simbol untuk menghasilkan coretan.
Namun masyarakat Cia-Cia menemukan cara baru untuk melestarikan warisan bahasa mereka.
Struktur suku kata tidak mudah disesuaikan dengan abjad Latin, yang banyak digunakan untuk menyalin bahasa nasional Indonesia, bahasa Indonesia.
Menyedari akan keperluan memastikan bahasa tersebut tidak pupus, pemerintah Kota Baubau mengadakan simposium persamaan bahasa dengan perwakilan pemerintah Korea Selatan untuk menyepakati penggunaan Hangul sebagai aksara tulisan rasmi bagi bahasa Cia-Cia.
Suku kata Hangul terbukti menjadi alat yang berkesan untuk menyalin bahasa Cia-Cia.
Penyesuaian aksara itu bermula pada 2009, berikutan adanya pertukaran budaya antara kota Baubau dengan para sarjana Korea.
Memetik laman Bobo, sejarah penggunaan huruf Hangul di Cia-Cia bermula apabila pakar bahasa berpendapat bahawa bahasa Cia-Cia memiliki persamaan dengan bahasa Korea.
Sebelum itu, usaha melestarikan bahasa Cia-Cia dilakukan dengan menggunakan huruf Hijaiyah, namun masih banyak bunyi bahasa yang jika ditulis memberikan makna berbeza.
Akhirnya, kesepadanan bunyi bahasa Cia-Cia ketika dituliskan dalam huruf Hangul menjadi asas penggunaan aksara ini berbanding huruf Latin yang digunakan di Indonesia.
Seterusnya, datuk bandar merakamkan budaya masyarakat Cia-Cia dengan sejarah penggunaan aksara Cia-Cia.
Ini menjadikan huruf Hangul di Cia-Cia digunakan secara rasmi sejak 2009.
Sejak itu, bukan hanya ia melambangkan budaya, malah huruf Hangul ini digunakan dalam penulisan nama jalan, nama sekolah dan pejabat pemerintah.
Selain itu, bahasa Cia-Cia yang mengadaptasi huruf Hangul juga dimasukkan dalam kurikulum sekolah tempatan.
Kini, ia dikenali sebagai Kampung Korea selepas penduduk setempat yang kebanyakannya Suku Laporo menggunakan bahasa daerah Cia-Cia sebagai rutin harian dengan nama jalan di daerah Sorawolio itu ditulis dengan huruf Hangul serta maknanya daripada bahasa Cia-Cia.
Bagaimanapun, ini tidak bermakna bahasa Cia-Cia itu sama atau difahami oleh penutur bahasa Korea.
Ini kerana ia mempunyai kosa kata dan pengucapan yang berbeza dengan bahasa Korea.
Encik Ilyas, seorang suku Cia-Cia, mengatakan bahwa penggunaan bahasa Cia-Cia sebelum ini terasa dipinggirkan oleh bahasa Indonesia yang dipakai secara meluas di Sulawesi Tenggara dan bahasa suku-suku lain yang lebih dominan.
“Banyak kata-kata asli Cia-Cia yang hilang kerana pengaruh bahasa Indonesia dan suku lain. Ini telah berlaku selama lebih kurang 20 tahun,” ujar Encik Ilyas.
Encik Sarianto, salah seorang mahasiswa yang pernah belajar di Korea, mengatakan bahwa penggunaan aksara Hangul membuat pelestarian bahasa Cia-Cia menjadi lebih kuat.
“Sebelum ada aksara Hangul, banyak warga yang ragu-ragu menggunakan bahasa Cia-Cia di forum-forum formal,” katanya.
“Tetapi dengan aksara Hangul, ramai mengatakan bahawa bahasa Cia-Cia semakin global,” tambahnya.
Untuk memudahkan peralihan linguistik ini, kota Baubau mengirimkan guru dan siswa ke Korea Selatan untuk mempelajari Hangul.
Tujuan mereka adalah untuk mengembangkan kaedah piawaian untuk menulis dan mengajar bahasa Cia-Cia.
Salah seorang pengasasnya, yang juga merupakan seorang guru, Encik Abidin, menghabiskan enam bulan di Korea Selatan untuk membuat kamus Hangul untuk masyarakat Cia-Cia.
Daya usaha itu telah memberikan kehidupan baru bagi bahasa Cia-Cia. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg