JOHOR BARU: Satu kedai runcit di Skudai di sini telah menimbulkan rasa jengkel Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, kerana memberi bantuan makanan berdasarkan kaum.

Beliau menyatakan tidak boleh ada sikap diskriminasi ketika memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan.

"Dalam keadaan sekarang, semua orang mengalami masa sukar dan menghadapi kesulitan yang amat sukar, tanpa mengira bangsa atau agama mereka.

"Jika mahu membantu mereka yang dalam kesusahan, bantulah semua tanpa mengira kaum dan agama.

"Lakukan secara ikhlas tanpa menimbulkan sebarang isu berkaitan perkauman," ujar beliau menerusi Facebook rasminya kelmarin.

Sultan Ibrahim menyatakan demikian sebagai mengulas rakaman satu video yang tular di media sosial Ahad lalu.

Video di media sosial itu menunjukkan kedai runcit itu menawarkan bantuan makanan asas tetapi didakwa melakukan diskriminasi terhadap kaum tertentu.

Sementara itu, Sultan Johor menegaskan betapa pentingnya hubungan antara kaum dan toleransi yang sentiasa menjadi tunjang perpaduan bangsa Johor.

"Mengambil contoh kurniaan bantuan makanan Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ), ia disampaikan kepada rakyat tanpa mengira agama dan bangsa di seluruh Johor setiap minggu.

"Niat kita adalah untuk membantu mereka yang berada dalam kesusahan, tidak perlu menimbulkan soal perkauman dalam bantuan yang dihulurkan," kata beliau.

Dalam satu klip video dua minit berikutnya, dua lelaki - dipercayai pemilik kedai runcit - mengatakan bahawa kedai tersebut telah membatalkan keputusannya dan semua orang kini dipersilakan untuk mengambil bantuan makanan tersebut.

"Ia satu kesalahan dan kami ingin meminta maaf dan sekarang semua orang boleh mengambil bantuan daripada bank makanan kami," kata salah seorang pemilik itu.

Sementara itu, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, berkata beliau kelmarin telah menerima sebanyak 100,000 kit ujian sendiri antigen Covid-19 yang akan diagihkan ke seluruh Johor.

Dalam satu catatan di Facebook rasmi beliau kelmarin, Tunku Ismail berkata kit ujian sendiri itu dapat mempertingkat keupayaan saringan supaya pengesanan jangkitan Covid-19 secara lebih berkesan dapat dijalankan.

"Pengesanan jangkitan Covid-19 yang lebih berkesan dapat dilakukan untuk mengenal pasti kes positif.

"Alat ujian ini akan membantu usaha mengekang penularan pandemik Covid-19 dan mengenal pasti kawasan panas," tambahnya.

Tunku Ismail menekankan bahawa terdapat keperluan untuk meningkatkan pengujian, penjejakan dan vaksinasi supaya imuniti kelompok dapat dicapai secepat mungkin. - The Star, BHM.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti