Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Sultan Johor: Usah amal diskriminasi kaum, agama dalam program awam

Jan 26, 2023 | 05:30 AM



JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, telah mengingatkan bahawa tiada individu patut disisihkan daripada sesuatu program awam kerana agama atau bangsanya.



Beliau berkata demikian semasa mengulas dakwaan kononnya hanya pelajar-pelajar Islam sahaja di semua sekolah perempuan yang diundang mengikuti bengkel Sijil Pengajian Malaysia (SPM) yang diadakan di sebuah hotel di Johor.



Beliau berkata tindakan pantas dan tepat oleh pihak berkuasa boleh membantu mencegah kekeliruan dan penularan sentimen berbaur kebencian itu.



"Saya tidak mahu Bangsa Johor keliru dan mula berburuk sangka antara satu dengan lain.



"Saya amat menitik-beratkan betapa pentingnya persefahaman, perpaduan dan toleransi antara kaum kita yang pelbagai.



"Jabatan Pendidikan seharusnya bertindak pantas untuk menangani situasi sebegini agar tidak menular emosi negatif serta perkara tidak sahih dalam kalangan rakyat, kata beliau, dipetik oleh akhbar Berita Harian Malaysia (BHM), kelmarin.



Awal dari itu, Kementerian Pendidikan Malaysia berkata tidak ada sebarang diskriminasi dalam menjalankan bengkel persiapan peperiksaan SPM yang dianjurkan itu.



Malah, ia dianjurkan secara berasingan bagi mengelakkan daripada mengganggu persiapan pelajar-pelajar dalam menyambut perayaan Tahun Baru Cina.



Kementerian berkenaan dalam satu kenyataan berkata, Bengkel Persediaan SPM itu membabitkan calon dari sebuah sekolah menengah di Johor Bahru.



Berdasarkan maklum balas awal diterima kementerian berkenaan daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor berhubung program itu, laporan awal mendapati bengkel itu adalah salah satu daripada pelbagai perancangan pihak berkaitan bagi memastikan semua murid tanpa mengira kaum dapat membuat persediaan menjelang peperiksaan SPM.



"Pada 19 dan 20 Januari 2023, Bengkel Persediaan SPM untuk calon telah dilaksanakan dahulu di Hotel Suasana, Johor Bahru, melibatkan 30 orang calon yang gagal dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah, serta melibatkan calon Galus (gagal lulus) dalam beberapa mata pelajaran lain.



"Bengkel yang dilaksanakan, diasingkan mengikut siri untuk mengelakkan gangguan terhadap calon yang sedang membuat persiapan bagi menyambut perayaan Tahun Baharu Cina.



"Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dimaklumkan bahawa bengkel susulan yang sama bagi calon lain juga telah dirancang untuk dilaksanakan pada 26 dan 27 Januari 2023 bertempat di hotel yang sama," kata kenyataan itu.



Menurut kementerian itu lagi, hasil siasatan mendapati tiada isu diskriminasi terhadap semua calon yang akan menduduki SPM dalam program yang telah dirancang oleh pihak sekolah, dengan melibatkan pegangan agama berbeza sebagaimana yang didakwa.



"KPM memohon kerjasama agar ibu bapa dan masyarakat terus menghubungi KPM melalui platform rasmi sekiranya terdapat sebarang isu atau masalah terutamanya yang melibatkan murid-murid.



"KPM sentiasa komited untuk memastikan keselamatan dan kebajikan murid sentiasa menjadi keutamaan," ujar kenyataan itu lagi.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >