PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai kuasa menangguhkan proses pengundian dan mengubah ke tarikh baru untuk pengundian di sesuatu tempat sekiranya berlaku kejadian atau bencana tidak diingini.

Bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, mengambil contoh jika sesuatu pusat mengundi itu dinaiki air banjir yang menyulitkan proses pengundian, maka ia boleh ditangguh ke tarikh baru.

"Di bawah Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981, ia beri kuasa kepada SPR untuk mengubah tarikh pengundian dan menangguh proses pengundian.

"Kalau ditakdirkan malam sebelum hari mengundi, pusat mengundi itu dinaiki air, jadi ia mustahil untuk pengundi keluar dan jejaskan prosesnya. Maka SPR ada kuasa untuk tetapkan tarikh lain bagi pusat mengundi itu sahaja," katanya dalam program Menjelang Malaysia Memilih pada malam kelmarin.

Jelas beliau, penangguhan juga dibolehkan sekiranya sesebuah pusat mengundi itu dinaiki air pada hari pengundian, maka SPR mempunyai kuasa untuk menangguhkannya.

Penangguhan pengundian pula hanya dilakukan di satu-satu tempat yang terkesan dan tidak menjejaskan seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen.

Semestinya ia juga melibatkan tatacara yang perlu diikuti bagi memastikan proses penangguhan berjalan lancar.

"Apabila penangguhan dibuat, ada tatacara rapi yangg perlu dilakukan di hadapan wakil calon seperti cara menutup peti undi, disaksikan oleh wakil setiap calon, dan ditempatkan di tempat yang selamat.

"Apabila tiba hari pengundian semula, maka proses sama akan dilakukan di hadapan wakil-wakil calon, ia bagi memastikan proses berjalan lancar dan elak dakwaan penipuan dan sebagainya," jelasnya.

Tambah Datuk Wan Ahmad, kuasa untuk menentukan penangguhan itu diberikan kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya di setiap Parlimen.