CETINJE: Sebuah serangan bersenjata di sebuah bandar kecil di Montenegro mengorbankan sekurang-kurangnya 10 nyawa, termasuk dua kanak-kanak pada 1 Januari, sebelum suspek penyerang, meninggal dunia membunuh diri pada 4 Januari.
Menteri Dalam Negeri Montenegro, Encik Danilo Saranovic, mengesahkan bahawa suspek, Aleksandar Martinovic, 45 tahun, Martinovic cuba membunuh diri selepas dikepung polis di dekat rumahnya di Cetinje, kira-kira 38 kilometer dari ibu negara Podgorica.
“Apabila menyedari dirinya dalam situasi tanpa harapan, dia cuba membunuh diri. Dia tidak meninggal dunia di lokasi tetapi ketika dalam perjalanan ke hospital,” kata Encik Saranovic kepada penyiar negara RTCG.
Serangan bermula di sebuah restoran di Cetinje, di mana suspek menembak mati empat orang, termasuk pemilik restoran dan anak-anaknya, menurut pihak berkuasa. Suspek kemudian menyerang tiga lokasi lain, membunuh enam lagi termasuk dua kanak-kanak.
Empat orang lain mengalami kecederaan serius dan kini dirawat di hospital. Polis turut mendedahkan bahawa suspek mempunyai sejarah pemilikan senjata api secara haram dan dipercayai mabuk ketika melakukan serangan.
Pemerintah Montenegro mengisytiharkan tiga hari berkabung nasional dan meminta semua bandar membatalkan persembahan serta konsert sebagai tanda penghormatan kepada mangsa.
“Daripada kegembiraan musim perayaan, kita kini dilanda kesedihan akibat kehilangan nyawa yang tidak berdosa,” ujar Presiden Jakov Milatovic.
Encik Spajic turut mengumumkan bahawa pemerintah akan meneliti semula undang-undang pemilikan senjata api, termasuk kemungkinan larangan sepenuhnya terhadap senjata.
Ini adalah insiden kedua dalam tempoh tiga tahun melibatkan pembunuhan beramai-ramai di Cetinje. Pada 2022, seorang penembak membunuh 10 orang, termasuk dua kanak-kanak, sebelum ditembak mati oleh seorang orang awam.
Walaupun Montenegro mempunyai undang-undang senjata yang ketat, negara ini masih mempunyai kadar pemilikan senjata yang tinggi, dengan 39 senjata setiap 100 orang, menurut kajian Small Arms Survey pada 2018.
Polis menyatakan bahawa serangan ini tidak berkaitan dengan jenayah terancang tetapi berkemungkinan berpunca daripada pertengkaran di sebuah bar sebelum tembakan dilepaskan.
“Kita mesti bersatu untuk mengatasi tragedi ini dan memastikan langkah-langkah keselamatan yang lebih ketat,” tambah Encik Spajic dalam satu kenyataan. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg