Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Suu Kyi dijatuhi hukuman penjara empat tahun

Dec 7, 2021 | 5:30 AM
DIPERINTAH MERINGKUK EMPAT TAHUN DALAM PENJARA: Aung San Suu Kyi (kanan) dan mantan presiden Myanmar, Win Myint, dijatuhi hukuman penjara oleh mahkamah Myanmar semalam atas tuduhan menimbulkan bantahan ke atas pihak tentera dan melanggar peraturan Covid-19. - Foto EPA-EFE
DIPERINTAH MERINGKUK EMPAT TAHUN DALAM PENJARA: Aung San Suu Kyi (kanan) dan mantan presiden Myanmar, Win Myint, dijatuhi hukuman penjara oleh mahkamah Myanmar semalam atas tuduhan menimbulkan bantahan ke atas pihak tentera dan melanggar peraturan Covid-19. - Foto EPA-EFE -

YANGON: Sebuah mahkamah Myanmar semalam menjatuhkan hukuman penjara empat tahun ke atas pemimpin politik, Aung San Suu Kyi, kerana menimbulkan bantahan ke atas pihak tentera dan melanggar peraturan Covid-19, kata jurucakap junta kepada agensi berita AFP.

Suu Kyi, 76 tahun, yang pada November 2020 memenangi pilihan raya umum Myanmar "dijatuhi hukuman penjara dua tahun di bawah seksyen 505(b) dan dua tahun di bawah undang-undang bencana alam", kata jurucakap junta, Encik Zaw Min Tun.

Kedua-duanya adalah hukuman pertama yang dijatuhkan ke atas penerima Hadian Nobel bagi Keamanan itu.

Mantan presiden, Win Myint, juga dipenjara empat tahun atas tuduhan yang sama, namun mereka belum dibawa ke penjara

Kedua-dua pesalah akan menghadapi tuduhan lain dari tempat di mana mereka berada sekarang, di ibu kota Naypyidaw, kata jurucakap itu lagi tanpa memberi butiran lanjut.

Suu Kyi telah ditahan sejak jeneral tentera menyusuli kudeta yang menjatuhkan pentadbirannya pada 1 Februari lalu, sekali gus mengakhiri demokrasi di Myanmar.

Pihak junta sejak itu telah menambah beberapa tuduhan, termasuk pelanggaran ke atas akta rahsia rasmi, rasuah dan penipuan pilihan raya.

Penerima Hadiah Nobel itu berdepan tempoh penjara yang panjang jika disabitkan atas kesemua tuduhan.

Wartawan telah dihalang daripada membuat liputan prosiding di mahkamah khas yang dibangunkan pihak tentera di ibu kota negara itu, dan peguam Suu Kyi telah dilarang daripada bercakap kepada pihak media.

Jurucakapnya berkata, kes yang dihadapi tidak berasas dan bertujuan mengakhiri kerjaya politiknya dan mengikatnya dengan prosiding undang-undang sementara pihak tentera mengukuhkan kuasa mereka.

Bagaimanapun, pihak junta berkata, Suu Kyi telah menjalani proses di mahkamah bebas yang dipimpin seorang hakim yang dilantik semasa pentadbirannya sendiri.

Lebih 1,300 orang telah terbunuh dan lebih 10,000 telah diberkas dalam satu tindakan mematahkan bantahan rakyat sejak kudeta berlaku.

Masyarakat antarabangsa mengutuk keganasan yang berlaku dan negara Barat menuntut pembebasan Suu Kyi. - AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg