JAKARTA: Indonesia mempertingkat program vaksinasi dengan inokulasi yang dibiayai syarikat untuk pekerja semalam.
Pekerja dalam industri buruh intensif seperti makanan dan pertrokimia akan menjadi antara golongan pertama yang menerima vaksin di bawah program ini, sedang negara itu cuba mengekalkan pengeluaran ekonominya.
Presiden Joko Widodo berkata semalam:
"Kami harap kilang, estet industri semuanya akan dilindungi daripada Covid-19...Ia memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi kita. Jika penghasilan terjejas, pertumbuhan ekonomi kita akan merosot."
Beliau berkata demikian dalam siaran maya program vaksinasi yang diadakan di 18 lokasi di kawasan perindustrian Jawa Barat.
Syarikat yang mengambil bahagian dalam program ini termasuk syarikat gergasi Unilever Indonesia, penghasil petrokimia Chandra Asri dan Sinar Mas Agribusiness and Food.
Setiap syarikat akan memberikan antara 2,000 hingga 4,000 suntikan kepada pekerja masing-masing.
Program inokulasi swasta itu melengkapkan vaksin percuma Indonesia bagi orang ramai.
Negara tersebut memulakan program vaksinasinya pertengahan Januari, dengan tumpuan kepada kumpulan berisiko tinggi seperti pekerja kesihatan, polis dan tentera.
Program vaksin percuma ini akan diperluas secara rasmi kepada orang ramai Julai ini.
Encik Jokowi berkata Indonesia, seperti negara lain, menghadapi cabaran dalam mendapatkan vaksin.
Tambahnya, untuk program vaksin swasta itu Indonesia hanya menerima 420,000 dos berbanding komitmen 30 juta yang ditetapkan penghasil sebelum itu.
Vaksin Sinopharm dari China digunakan bagi program vaksin swasta itu sementara Sinovac dari China dan AstraZeneca dari Britain merupakan pembekal bagi program vaksin percuma.
Dalam ucapannya Encik Jokowi berkata: "Hingga kini kami telah menyuntik sebanyak 23 juta dos vaksin, berbanding sasaran 380 juta dos."
Peratusan penduduk Indonesia yang telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin pada 4 May adalah 4.64 peratus, menurut ourworldindata.org dan SDG-Tracker, usaha bersama antara Universiti Oxford dan pertubuhan bukan mencari untung Global Change Data Lab.
Angka Indonesia merupakan antara yang tertinggi di kalangan negara Asia Tenggara yang mempunyai penduduk yang melebihi 20 juta.
Malaysia mencatatkan angka 2.83 peratus, Thailand 1.65 peratus, Filipina 1.54 peratus dan Vietnam 0.6 peratus.
Myanmar pula mencatatkan 1.84 peratus pada 31 Mac, menurut data terbaru.
Sementara itu, 31.67 peratus penduduk Singapura telah menerima vaksin.
Program vaksin swasta itu dijangka membantu Indonesia mencapai kekebalan kelompok atau herd immunity dengan lebih cepat, kata Encik Jokowi, sambil menambah bahawa negara itu berharap dapat memberi vaksin kepada lebih 181.5 juta, atau 67 peratus, daripada 270 juta penduduknya pada 2022.
Menurut pakar, sebanyak 60 hingga 70 peratus daripada penduduk perlu menerima vaksinasi sebelum kekebalan kelompok dapat dicapai, meskipun angka yang lebih tinggi telah ditetapkan memandangkan Covid-19 lebih mudah dijangkiti.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg