DUBAI (Amiriah Arab Bersatu): Abu Dhabi's International Holding Co (IHC), yang dikawal anggota utama keluarga diraja Abu Dhabi, akan melabur AS$400 juta ($526 juta) dalam penjualan saham ikutan (follow-on share) oleh Adani Enterprises, yang dilihat menggambarkan keyakinan terhadap empayar perniagaan milik jutawan India, Encik Gautam Adani, itu.
Ini meskipun nilai pasaran bagi perniagaan empayar berkenaan lenyap hampir AS$70 bilion baru-baru ini, lapor Bloomberg.
Pendanaan daripada IHC itu, membentuk kira-kira 16 peratus daripada tawaran penuh AS$2.5 bilion yang ditawarkan Adani.
Pelaburan IHC ini dibuat menerusi anak syarikatnya, Green Transmission Investment Holding RSC Ltd, menurut firma berpangkalan di UAE itu dalam kenyataannya kelmarin.
Firma itu telah melabur hampir AS$2 bilion dalam syarikat Adani tahun lalu.
"Minat kami dalam Kumpulan Adani didorong oleh keyakinan dan kepercayaan kami terhadap asas-asas Adani Enterprises," kata Ketua Pegawai Eksekutif IHC, Syed Basar Shueb.
"Kami melihat potensi yang kukuh untuk pertumbuhan dari perspektif jangka panjang dan nilai tambah kepada pemegang saham kami," tambahnya.
Pelaburan IHC datang ketika Adani berusaha memulihkan keyakinan dalam perniagaan pelabuhan kepada kuasa tenaga berikutan penilaian buruk oleh firma pelaburan tempoh pendek (short stock seller) berpangkalan di Amerika, Hindenburg Research, yang menuduh konglomerat itu melakukan manipulasi pasaran, penipuan perakaunan dan mengendalikan rangkaian entiti luar pesisir terkawal di kawasan perlindungan cukai.
Kumpulan Adani mengeluarkan bantahan setebal 413 muka surat pada Ahad lalu, tetapi pertemuan itu telah menghapuskan $68 bilion daripada nilai pasaran sahamnya.
IHC sedang memantau rapat pasaran antarabangsa untuk prospek baru, dan akan terus meneroka peluang selanjutnya di luar pasaran tradisionalnya tahun ini, kata Encik Shueb lagi dalam kenyataan itu.
Ia juga akan meneroka peluang perniagaan di Eropah, Afrika, Asia dan Amerika Selatan.
Dengan pelaburan daripada syarikat SpaceX, yang dimiliki hartawan Elon Musk, kepada perikanan tempatan dan pemaju hartanah terbesar Abu Dhabi, IHC dilihat berada di barisan hadapan dalam usaha mempelbagai ekonomi UAE dan menggunakan keuntungan minyaknya di luar negara.
Syarikat itu, yang permodalan pasarannya meningkat kepada $239 bilion sejak 2019, dikawal oleh Kumpulan Diraja, sebuah konglomerat yang menyenaraikan Sheikh Tahnoon bin Zayed al Nahyan - penasihat keselamatan negara dan abang kepada presiden UAE - sebagai pengerusi. - Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg