Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Syarikat penerbangan baru Brunei pesan 30 pesawat buatan China

Oct 4, 2023 | 12:34 PM
PESAWAT BUATAN CHINA: Gallop Air yang berpangkalan di Brunei, sedang berunding dengan pelabur dan telah memesan 30 pesawat jenis Comac menjelang pelancarannya tahun depan.
PESAWAT BUATAN CHINA: Gallop Air yang berpangkalan di Brunei, sedang berunding dengan pelabur dan telah memesan 30 pesawat jenis Comac menjelang pelancarannya tahun depan. - Foto REUTERS

BEIJING: Syarikat penerbangan baru yang berpangkalan di Brunei, Gallop Air, sedang giat mengadakan pertemuan dengan pelabur menjelang pelancarannya yang dijangka pada separuh kedua 2024.

Langkah tersebut adalah kurang daripada sebulan selepas syarikat tersebut mengumumkan pesanan untuk membeli 30 pesawat jenis Comac bernilai AS$2 bilion ($2.76 bilion)

Ketua Pegawai Eksekutif Gallop Air, Encik Cham Chi, memberitahu media bahawa perbincangan dengan “beberapa bakal pelabur” sedang dijalankan dan beliau juga sedang mencari “peluang untuk kerjasama dan pelaburan” dengan kerajaan Brunei dan syarikat tempatan.

Beliau juga menyatakan bahawa pihaknya juga telah mengadakan perbincangan dengan bank dan pemberi pajak mengenai pembiayaan pemerolehan pesawat.

Pesanan pesawat Comac yang dibuat Gallop Air termasuk ARJ21-700s (sesetengahnya dengan konfigurasi untuk orang kenamaan atau VIP), ARJ21-700(F)s dan C919s.

Apabila pesanan itu tiba, ia akan menjadikan Gallop Air pengendali pertama C919 di luar China dan pengendali bukan China kedua pesawat jenis ARJ21-700.

Gallop Air dimiliki dan dipengerusikan ahli perniagaan China, Encik Yang Qiang, melalui entiti yang berpangkalan di Singapura.

Encik Yang juga pengerusi Kumpulan Pelaburan Shaanxi Tianju milik persendirian.

Entiti itu mengumumkan pesanan pesawat itu ketika menandatangani perjanjian di Ekspo China-Asean di Nanning baru-baru ini.

Gallop Air akan berganding bahu dengan jet keluaran domestik Comac, ARJ21 dan C919, untuk membina reputasi Brunei yang tinggi untuk kualiti dan penjenamaan di Asia dan Oceania,” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh kumpulan Tianju.

Agensi berita Global Times China, baru-baru ini melaporkan bahawa Gallop Air akan “meningkatkan hubungan penerbangan antara Brunei dengan China”, menamakan Nanning dan Guilin di Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang selatan China sebagai destinasi pertama.

Syarikat penerbangan tempatan milik kerajaan Brunei iaitu Brunei Airlines kini mengendalikan perkhidmatan berjadual antara Bandar Seri Begawan dengan tiga lapangan terbang di China iaitu Beijing Daxing, Hangzhou dan Nanning.

Pemerintah China sebelum ini menyatakan bahawa Beijing berharap pesawat komersial C919 itu akan mencabar model asing seperti Boeing 737 MAX dan Airbus A320, walaupun kebanyakan bahagiannya diperoleh dari luar negara.

Model pertama jet badan sempit itu, yang memuatkan 164 penumpang, telah diserahkan secara rasmi kepada China Eastern Airlines semasa satu majlis di lapangan terbang di Shanghai.

Langkah itu menandakan "pencapaian penting" dalam perjalanan industri pesawat China, kata penyiar negara CCTV. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg