Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

MELABUH TIRAI 2020

Tahun penuh peristiwa bagi M'sia

Dec 28, 2020 | 05:30 AM



TAHUN 2020 penuh dengan peristiwa menarik yang tidak akan dilupakan rakyat Malaysia kerana ada antara peristiwa itu terkesan secara langsung terhadap kehidupan dan kelangsungan kehidupan mereka.



Kes pandemik Covid- 19 yang pertama disahkan dikesan di Malaysia pada Januari 2020, pertukaran kerajaan Pakatan Harapan (PH) kepada Perikatan Nasional (PH), bukan melalui Pilihan Raya Umum (PRU) tetapi 'pintu belakang atau tebuk atap'.



Datuk Seri Najib Tun Razak yang menjadi perdana menteri ke-6 yang menjadi perhatian umum selepas kalah PRU14, melakar sejarah menjadi mantan perdana menteri pertama dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas tujuh tuduhan pecah amanah.



POLITIK



Pertama kali dalam sejarah Malaysia, kerajaan PH yang dipilih melalui pilihan raya diganti dengan kerajaan PN melalui 'Langkah Sheraton' apabila Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) keluar daripada PH bersama 10 Ahli Parlimen (AP) Parti Keadilan Rakyat (PKR), bergabung dengan parti pembangkang menubuhkan kerajaan PN.



Perdana Menteri ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi Bersatu, meletak jawatan sebagai perdana menteri dan pengerusi parti itu pada 24 Februari selepas merasakan beliau kehilangan sokongan sekali gus kerajaan PH yang diterajuinya selama 22 bulan tumbang.



Berikutan itu pada hari yang sama, Dr Mahathir dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai perdana menteri interim sementara Baginda menemu duga AP bagi menentukan calon perdana menteri undi terbanyak.



Seluruh negara yang mengikuti perkembangan itu melalui media sosial dan media arus perdana akhirnya pada 29 Februari 2020 mendapat berita Baginda berkenan melantik Tan Sri Muhyiddin sebagai perdana menteri.



Selepas kejatuhan kerajaan PH itu, bermulalah apa yang dikatakan sebagai 'teori domino' apabila kerajaan PH negeri Kedah, Perak, Melaka dan Johor jatuh diganti oleh kerajaan PN.



Kerajaan negeri Sabah yang diterajui oleh gabungan Parti Warisan Sabah dan PH, pula terpaksa dibubarkan pada 30 Julai oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, selepas mendapat nasihat daripada Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.



Kerajaan Warisan dan PH gagal mengekalkan kuasa pada PRN itu, dan tertubuhlah kerajaan baru gabungan PN, BN dan PBS menerajui Sabah. Kini, hanya tinggal Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan masih di bawah pentadbiran PH.



Pada masa yang sama politik negara dikejutkan dengan tindakan Umno parti rakan PN, yang menggunakan usul undi percaya menolak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar Perak dan diganti dengan calonnya, Datuk Saarani Mohamad.



Dalam tempoh 10 bulan kerajaan PN yang goyah dan menunggu untuk tumbang merajui Malaysia, Tan Sri Muhyiddin hingga hari masih mengelak untuk diuji melalui undi percaya atau undi tidak percaya di Parlimen.



Beliau bertahan di dahan 'rapuh' dengan sokongan tidak lebih 111 AP kurang satu kerusi untuk memimpin majoriti mudah seperti yang dikehendaki Perlembagaan Persekutuan.



Secara tidak langsung sokongan ke atas Tan Sri Muhyiddin dapat dilihat melalui penggundian penyingkiran Speaker Tan Sri Mohamad Arif Yusof dengan undi 111 menyokong daripada 222 AP keseluruhannya.



Begitu juga pada Belanjawan 2021 jumlah undian yang sama diperoleh kerajaan daripada 220 AP.



Datuk Seri Anwar Ibrahim pula cuba untuk menumbangkan kerajaan PN melalui dakwaan mempunyai cukup sokongan AP, dakwaan itu tidak dapat meyakinkan Yang di-Pertuan Agong apabila Ketua Pembangkang itu gagal mengemukakan jumlah SD seperti yang didakwa pada 13 Oktober lalu.



Malaysia juga dikejutkan dengan permohonan Perdana Menteri untuk mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi mengisytiharkan darurat, yang berkemungkinan menjadi yang pertama di negara sejak 51 tahun lalu, dan boleh menyebabkan penggantungan Parlimen dan menambah lagi kuasa eksekutif kerajaan.



Bagaimanapun, pada 25 Oktober lalu, Al-Sultan Abdullah menolak permohonan itu selepas mengadakan pertemuan dengan Raja-Raja Melayu untuk membincangkan perkara tersebut.



KESIHATAN



Kes pertama Covid-19 di Malaysia disahkan oleh Menteri Kesihatan (ketika itu) Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, membabitkan tiga warga China yang masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura pada 23 Januari 2020, sehingga 20 Disember 2020 tercatat 93,309 kes positif dilaporkan selain 437 kes kematian.



Rakyat dan syarikat yang terkesan secara langsung akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu apabila dilaporkan 90,470 hilang pekerjaan setakat 28 Oktober 2020 seperti yang dinyatakan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan 30,000 syarikat ditutup operasi berdasarkan kenyataan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada 11 November lalu.



Begitu juga dengan pengeluar sarung tangan getah terbesar dunia, Top Gloves Corp Bhd, yang mendapat liputan meluas bukan disebabkan produk keluarannya tetapi penutupan 28 kilang disebabkan lebih 1,000 pekerjanya disahkan positif Covid-19.



MAHKAMAH



Datuk Najib menjadi mantan Perdana Menteri pertama dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ($78.7 juta), selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).



Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali menyifatkan kes penyelewengan itu adalah kesalahan salah guna kedudukan, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram yang paling teruk.



Datuk Najib berjaya menangguhkan pelaksanaan hukuman sehingga rayuannya di Mahkamah Rayuan selesai.



Datuk Najib juga sedang menghadapi perbicaraan empat pertuduhan kes menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.



Isteri Datuk Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, yang terkenal dengan gelaran 'First Lady' tidak terlepas daripada menghadapi tuduhan menerima suapan menerusi Pegawai Khasnya, Datuk Rizal Mansor, sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid, serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak, bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.



Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, pula dihukum penjara 12 bulan dan denda RM2 juta oleh Mahkamah Tinggi selepas didapati bersalah menerima rasuah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan.



Di pentas yang sama, Presiden Umno merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sedang menghadapi perbicaraan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya bagi kes pecah amanah, lapan membabitkan tuduhan rasuah dan 27 bagi kes pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.



Beliau juga mengaku tidak bersalah terhadap 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Menteri Dalam Negeri di Kementerian Dalam Negeri Malaysia (KDN), melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di negara China dan Sistem VLN serta didakwa mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.



Sepanjang tahun 2020 pemimpin Umno yang menghadapi tuduhan rasuah memulakan perbicaraan antaranya, bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Samad, diperintah membela diri atas sembilan tuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta bagi meluluskan pembelian sebuah hotel di Kuching. Bagaimanapun, beliau dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan pecah amanah.



Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, dituduh atas tiga tuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta daripada Pengarah Syarikat Menuju Asas Sdn Bhd, Mohammad Redzuan Mohanan Abdullah, sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan projek-projek pembinaan jalan raya di Perak dan Kedah antara 8 Disember 2010 dan 10 April 2018.



Mantan Menteri Kewangan, Encik Lim Guan Eng, menjadi pemimpin pembangkang tunggal yang dihadapkan ke mahkamah pada 2020, dengan kes pertamanya, ketika menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang, dituduh meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperolehi daripada Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli. Suapan itu balasan sebagai upah bagi membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.



Tan Sri Idrus Harun dilantik sebagai Peguam Negara menggantikan Tan Sri Tommy Thomas, tidak sunyi daripada kontroversi apabila beliau menggunakan budi bicaranya menggugurkan tiga kes profil tinggi sehingga mencetuskan pendebatan awam.



Kes pertama, anak tiri Datuk Najib, Riza Shahriz Abdul Aziz, dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen atas tuduhan pengubahan wang haram AS$248 juta (RM1.25 bilion) berkaitan penyelewengan dana 1MDB.



Peguam Negara juga menarik balik 46 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berhubung kontrak konsesi balak di Sabah ke atas Tan Sri Musa.



Bagi kes rasuah, Tan Sri Musa menghadapi 30 tuduhan, sebagai ejen kerajaan Sabah iaitu Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, secara rasuah memperoleh untuk diri sendiri, suapan daripada lapan pemilik konsesi balak berjumlah AS$50.1 juta. Wang suapan itu sebagai dorongan untuk melakukan perbuatan berhubung hal ehwal prinsipalnya iaitu memberikan kontrak konsesi balak Sabah kepada 16 syarikat.



Bagi kes pengubahan wang haram, tuduhan pertama dan ke-16, Tan Sri Musa dituduh membabitkan diri secara tidak langsung dalam transaksi pengubahan wang haram dengan mengarahkan Richard Christopher Barnes, 67, untuk membuka satu akaun di UBS AG atas nama lelaki itu bagi tujuan menerima hasil aktiviti haram.



BELASUNGKAWA



Pemergian isteri kepada Perdana Menteri kedua, Tun Abd Razak Hussein dan ibu kepada Datuk Najib, Tun Rahah Mohamed Noah, 87 tahun, diratapi rakyat Malaysia yang menghargai sumbangan beliau kepada negara.



Begitu juga dengan pemergian Tokoh Pendidikan dan Ekonomi, Profesor Diraja, Ungku Aziz Ungku Hamid, 98 tahun, yang banyak berjasa kepada penubuhan Lembaga Tabung Haji dan membantu masalah kemiskinan dalam kalangan rakyat bawahan.



Malaysia juga kehilangan Tokoh Pendidikan, Tan Sri Abd Rahman Arshad, 84 tahun, Tokoh Akademik Negara, Profesor Emeritus, Tan Sri Dr Rashdan Baba, 85 tahun, bekas Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Mokhtar Hashim, 78 tahun, bekas Pengarah Urusan MAS, Tan Sri Abd Aziz Abd Rahman, 86 tahun, dan pemain bola sepak negara, Datuk Namat Abdullah, 74 tahun, serta Datuk Mohamad Bakar, 75 tahun.



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >