Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Taleban gesa syarikat penerbangan antarabangsa sambung terbang ke Kabul

Sep 28, 2021 | 05:30 AM



KABUL: Pentadbiran Taleban menggesa syarikat penerbangan antarabangsa menyambung operasi penerbangan ke Kabul, kerana semua masalah teknikal di lapangan terbang utama Afganistan itu sudah diselesaikan.



Kemudahan di lapangan terbang Kabul rosak teruk ketika perpindahan lebih 120,000 orang pada 30 Ogos menyusuli pengunduran terakhir tentera Amerika Syarikat. Sejak itu, hanya penerbangan sewa beroperasi, walaupun Pakistan International Airlines (PIA), Iran Mahan Air dan Kam Air Afghanistan melakukan penerbangan khas.



Masyarakat antarabangsa mahu Taleban berpegang pada janji mereka akan membenarkan sesiapa saja meninggalkan negara itu lepas penerbangan komersial disambung.



Sekarang, syarikat penerbangan seperti PIA dan Kam Air mengenakan bayaran lebih AS$1,200 ($1,623) bagi penerbangan sehala 40 minit dari Kabul ke Islamabad di Pakistan. Menurut syarikat penerbangan, walaupun pada harga tersebut, penerbangan tidak tetap itu sentiasa terlebih langganan.



Jurucakap Kementerian Luar, Encik Abdul Qahar Balkhi, berkata Taleban berharap perkhidmatan komersial dengan jadual tepat akan disambung tidak lama lagi.



"Ramai warga Afghanistan tersekat di luar dan tidak dapat kembali ke tanah air. Lebih-lebih lagi, ramai warga Afghanistan yang mempunyai pekerjaan antarabangsa atau melanjutkan pendidikan ke luar negara kini menghadapi kesulitan mencapai destinasi mereka," katanya.



Perkhidmatan di lapangan terbang Kabul dipulihkan dengan bantuan teknikal Qatar, Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Turkey.



Sebulan selepas merampas kuasa susulan serangan kilat merata Afghanistan, Taleban minggu lalu membentuk kerajaan sementara mereka. Dalam kalangan masyarakat Afghanistan sendiri dan di seluruh dunia, kebanyakan orang bimbang kumpulan itu mahu menghidupkan semula pemerintahan tegarnya dari 1966 hingga 2001.



Bagaimana, kepimpinan yang terdiri daripada kaum lelaki sahaja itu mengaku wanita amat penting bagi penyambungan bantuan ekonomi Barat yang sangat diharapkan negara itu. Selepas kembali berkuasa pada 15 Ogos Taleban berkata mereka akan menghormati hak asasi wanita sesuai dengan undang-undang Islam, tanpa mengulas lanjut.



Sepanjang pentadbiran mereka sebelum ini, wanita diwajibkan memakai burqa, dan dilarang bekerja atau belajar kecuali dalam keadaan tertentu yang jarang berlaku. Kini, sebilangan besar wanita diarah jangan kembali bekerja hingga Taleban memperhalusi satu "sistem baru", manakala sebilangan duduk di rumah kerana takut akan tindakan balas kerana bekerja. - AFP.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >