Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Taleban izin 400 jenis sukan, enggan sahkan wanita boleh sertai

Ketua baru sukan Afghan: Tiada sukan dilarang kecuali yang tak patuh undang-undang syariah
Sep 16, 2021 | 05:30 AM



KABUL: Dari renang ke bola sepak, berlari dan menunggang kuda, ketua baru sukan Afghanistan berkata pentadbiran Taleban akan membenarkan 400 jenis sukan - tetapi enggan mengesahkan apakah wanita boleh menyertainya.



"Tolong jangan tanya lebih banyak soalan tentang wanita," kata Encik Bashir Ahmad Rustamzai kepada agensi berita AFP kelmarin, dari kerusi empuk tempat presiden Jawatankuasa Olimpik Afghanistan duduk sebelum beliau meninggalkan negara itu bulan lepas.



Encik Rustamzai, bekas juara gusti dan kung fu bertubuh sasa dan berjanggut hitam putih, dilantik oleh Taleban sebagai setiausaha agung bagi sukan dan pendidikan jasmani Afghanistan.



Beliau ketua persekutuan gusti semasa Taleban memerintah buat kali pertama 20 tahun lalu dan kemudian bekerja bersama pemerintah Afghanistan yang disokong Barat, sebelum meninggalkannya kerana "rasuah mereka berleluasa".



"Kami tidak akan melarang mana-mana sukan," kata Encik Rustamzai, yang tampil dengan sarban hitam yang sering dipakai pengikut Taleban.



Beliau sentiasa mengelak soalan yang menyentuh mengenai wanita dalam sukan.



Semasa rejim Taleban yang ganas dan melampau memerintah dari 1996 hingga 2001, wanita tidak dibenarkan sama sekali bermain dalam apa jua sukan dan sukan bagi lelaki dikawal rapi.



Wanita di Afghanistan juga selalunya dilarang bersekolah dan bekerja.



Stadium sukan sering digunakan untuk menjalankan hukuman mati.



"Kami tidak akan melarang mana-mana sukan, kecuali yang tidak mematuhi undang-undang syariah... terdapat 400 jenis sukan yang dibenarkan," kata Encik Rustamzai.



Tidak lama kemudian, beliau menyaksikan satu pertunjukan oleh sekumpulan pemuda Afghan yang beraksi menggunakan sepatu roda, dan mengibarkan bendera putih Taleban.



Encik Rustamzai berkata mematuhi undang-undang Islam bermakna hanya berlaku perubahan kecil dari segi amalan berbanding negara lain.



"Tidak banyak berubah," katanya, sambil akur bahawa ia memerlukan, sebagai contoh, pemain bola sepak atau peninju Muay Thai memakai "seluar pendek yang agak panjang sedikit, yang melebihi paras lutut".



Ditanya tentang penyertaan wanita dalam sukan, Encik Rustamzai berkata beliau masih menunggu perintah daripada kepimpinan tertinggi Taleban.



"Kita boleh membayangkan perkara yang sama seperti di universiti: membenarkan wanita bermain sukan, tetapi berasingan dari lelaki," kata salah seorang penasihatnya.



Encik Rustamzai, bagaimanapun, tidak mahu mengesahkannya secara langsung.



Peraturan baru di universiti membenarkan wanita terus mengikuti pengajian selagi mereka mematuhi langkah pengasingan ketat dari lelaki, dan menuruti peraturan pakaian, dengan memakai abaya dan niqab menutup muka.



Sukatan pelajaran juga dikawal.



Minggu lalu, timbalan ketua suruhanjaya budaya Taleban, Encik Ahmadullah Wasiq, berkata "tidak perlu" untuk wanita bermain sukan.



"Dalam kriket, mereka mungkin berdepan situasi di mana wajah dan tubuh badan mereka tidak ditutupi," kata Encik Wasiq kepada stesen penyiaran Australia, SBS.



"Islam melarang wanita dilihat sebegitu."



Taleban menghadapi tekanan, terutama bagi sukan kriket di mana peraturan antarabangsa menyatakan negara peserta mesti mempunyai pasukan wanita aktif untuk mengambil bahagian dalam perlawanan Test (bentuk sukan kriket dengan tempoh jangka masa pertandingan terpanjang dan dianggap sebagai mutu permainan tertinggi). - AFP




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >