Topic followed successfully
Go to BHkuTaliban rayu bantuan dunia susuli gempa di Afghanistan
Taliban rayu bantuan dunia susuli gempa di Afghanistan
Taliban rayu bantuan dunia susuli gempa di Afghanistan
KABUL: Penguasa Taliban merayu bantuan dan sokongan dunia menyusuli gempa bumi berukuran 6.1 skala Richter meragut lebih 1,000 nyawa dan sekurang-kurangnya 1,500 cedera.
BBC melaporkan, wilayah Paktika di timur Afghanistan menjadi lokasi paling teruk terjejas dan pasukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kini bertungkus-lumus menyalurkan bantuan segera.
Dianggarkan ramai mangsa terperangkap di bawah runtuhan rumah dan bangunan, selain operasi mencari serta menyelamat sukar akibat hujan dan kekurangan jentera berat.
Mereka yang terselamat memaklumkan, sejumlah kampung musnah sepenuhnya, banyak jalan dan menara telekomunikasi rosak.
Gempa bumi itu yang terburuk pernah berlaku di negara itu dalam dua dekad, sekali gus menjadi cabaran utama Taliban yang berusaha memulihkan semula Afghanistan.
Pegawai kanan Taliban, Encik Abdul Qahar Balkhi, berkata kewangan pemerintah tidak mampu membantu semua penduduk yang terjejas.
"Kami amat memerlukan bantuan dunia kerana bencana yang berlaku ketika ini adalah paling teruk.
"Tolak ke tepi semua perbezaan fahaman anda, bantulah rakyat Afghanistan yang memerlukan," rayunya.
Setiausaha Agung PBB, Encik Antonio Guterres, memaklumkan agensi itu bersedia menghantar bantuan yang diperlukan termasuk perubatan, bekalan asas dan perlindungan sementara.
Kebanyakan kes kematian dilaporkan berlaku di daerah Gayan dan Barmal di Paktika. Lebih 3,000 rumah musnah.
Kekurangan kemudahan perubatan turut menyumbang kepada peningkatan jumlah korban memandangkan ramai mangsa yang cedera meninggal dunia akibat tidak mendapat rawatan sewajarnya.
Sejumlah petugas perubatan turut terkorban dalam gempa.
Pihak berkuasa Afghanistan bergelut untuk sampai ke kawasan terpencil dengan komunikasi yang lemah.
"Kami tidak dapat sampai ke kawasan itu, rangkaian terlalu lemah, kami cuba mendapatkan maklumat terkini," Encik Mohammad Ismail Muawiyah, jurucakap komander tertinggi tentera Taliban di wilayah Paktika yang paling teruk dilanda, memberitahu Reuters, merujuk kepada rangkaian telefon.
Jumlah kematian dijangka terus meningkat dengan ramai kini berada dalam keadaan kritikal dan operasi menyelamat masih diteruskan di daerah Gayan dan Barmal di wilayah itu.
"Banyak rumah musnah, dan ramai terperangkap di bawah runtuhan.
"Pasukan bantuan dari Kabul telah tiba dan operasi menyelamat sedang dijalankan.
"Semua agensi yang berkaitan harus menyalurkan bantuan ke Paktika," kata jurucakap polis di Kabul, Encik Khalid Zadran menerusi ciapan di Twitter.
Video dan foto yang tular di media sosial memaparkan banyak kediaman musnah.
Operasi menyelamat akan menjadi ujian besar bagi pihak berkuasa Taliban, yang mengambil alih negara Ogos lalu selepas dua dekad perang dan telah terputus daripada banyak bantuan antarabangsa kerana sekatan. - Agensi berita.

