KUALA LUMPUR: Pemberian Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) Tambahan Khas sebanyak RM100 ($30) kepada pegawai perkhidmatan awam persekutuan dalam kumpulan pelaksana dan kumpulan pengurusan serta profesional akan berkuat kuasa 1 Januari ini.
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam satu kenyataan di laman Facebook semalam memaklumkan berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 2022 (PP Bil. 2/2022) pemberian KGT Tambahan Khas itu akan diberikan pada tahun 2023 sahaja.
Bagaimanapun pembayaran KGT tambahan Khas akan dibuat mulai tarikh pembayaran gaji bagi bulan Januari 2023.
Pegawai yang layak (menerima KGT) ialah mereka yang bertaraf tetap, sementara dan kontrak dan telah dilantik sebelum 1 Januari 2023 serta sedang berkhidmat pada 1 Januari 2023.
Pemberian KGT Tambahan Khas ini tidak mengubah Pergerakan Gaji Tahunan (PGT) dan Tarikh Pergerakan Gaji (TPG) pegawai, tertakluk kepada peraturan yang sedang berkuat kuasa, menurut JPA.
JPA turut memaklumkan pegawai yang dikenakan hukuman tatatertib selain hukuman buang kerja yang berkuat kuasa 1 Januari 2023 juga layak menerima KGT Tambahan Khas ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan peruntukan khas (Bajet Mini) di Dewan Rakyat pada 20 Disember lalu berkata Kerajaan Perpaduan bersetuju meneruskan pemberian KGT Tambahan Khas 2023 sebanyak RM100 kepada semua penjawat awam gred 11 hingga 56.
Inisiatif pemberian KGT Tambahan Khas ini diumumkan melalui Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-18 pada 30 Ogos dan pembentangan Bajet 2023 pada 7 November lepas, di bawah pentadbiran mantan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg