Subuh
5:30
Syuruk
6:53
Zuhur
12:56
Asar
4:19
Maghrib
6:56
Isyak
8:11
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Tamparan bagi Macron; hilang majoriti Parlimen Perancis

Jun 21, 2022 | 05:30 AM



PARIS: Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron, menerima tamparan hebat apabila kehilangan majoriti di Parlimen semalam selepas pakatan berhaluan kiri yang baru dibentuk serta pesaing berhaluan kanan meraih kejayaan dalam pilihan raya.



Keputusan pengundian pusingan kedua kelmarin menyaksikan politik Perancis terjerumus ke kancah pergolakan, sekali gus meningkatkan prospek badan perundangan lumpuh atau pakatan yang berantakan, dengan Encik Macron terpaksa mengusahakan jalinan sekutu baru.



Selain itu, Encik Macron, 44 tahun, kini juga berisiko digugat masalah domestik ketika beliau memberi tumpuan untuk memainkan peranan penting ke arah menamatkan pencerobohan Russia di Ukraine serta menjadi tokoh utama dalam Kesatuan Eropah (EU).



Bagaimanapun, pakatan Together (Bersama) di bawah pimpinan Encik Macron masih menjadi parti terbesar dalam penggal Perhimpunan Kebangsaan (Parlimen) Perancis yang akan datang.



Namun dengan hanya memenangi 245 kerusi berdasarkan keputusan penuh Pilihan Raya Parlimen yang diumumkan awal pagi semalam, pakatan berkenaan gagal menguasai 289 kerusi diperlukan untuk memperoleh majoriti dalam Dewan Rakyat yang dibarisi 577 ahli itu.



"Keadaan ini mencetuskan risiko kepada negara kita, memandangkan cabaran yang perlu dihadapi. Kita akan berusaha mulai esok untuk membina majoriti yang berfungsi," kata Perdana Menteri Perancis, Cik Elisabeth Borne, dalam kenyataan disiarkan melalui televisyen.



Perkembangan itu 'mencemarkan' kejayaan Encik Macron pada Pilihan Raya Presiden April lalu, di mana beliau menewaskan pesaing berhaluan kanan untuk muncul sebagai ketua negara yang pertama untuk memenangi penggal kedua dalam tempoh lebih dua dekad.



Pakatan berhaluan kiri, NUPES, yang baru dibentuk bawah kepimpinan Encik Jean-Luc Melenchon, 70 tahun, memenangi 135 kerusi, menurut kiraan AFP berdasarkan keputusan diumumkan Kementerian Dalam Negeri.



NUPES ditubuhkan pada Mei lalu dengan pakatan membabitkan parti Sosialis, Komunis dan Greens.



Sementara itu, Encik Melenchon menyifatkan keputusan pilihan raya berkenaan sebagai "kegagalan pilihan raya" bagi Encik Macron.



"Kekalahan teruk parti presiden adalah menyeluruh, dan tidak akan ada majoriti di Parlimen," katanya kepada penyokongnya di Paris.



Seorang Ahli Parlimen terkenal daripada parti pimpinan Encik Melenchon, Encik Alexis Corbiere pula berkata keputusan itu dilihat bakal menjejaskan perancangan Encik Macron untuk meningkatkan umur persaraan kepada 65 tahun di negara itu.



Parti National Rally di bawah pemimpin berhaluan kanan, Cik Marine Le Pen, turut mencatat pencapaian besar dengan kemenangan 89 kerusi dalam pilihan raya kali ini.



Cik Le Pen meraikan keputusan bersejarah bagi partinya itu dengan memaklumkan ia adalah bilangan tertinggi Ahli Parlimen mereka setakat ini, yang membarisi Perhimpunan Kebangsaan akan datang. - Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >