BOGOTA (Colombia): Sekurang-kurangnya 34 orang maut apabila satu kejadian tanah runtuh menimbus sebuah bas di kawasan barat laut Colombia pada Ahad lalu, kata agensi bencana pemerintah.
Tanah runtuh, yang disebabkan hujan lebat, menimpa bas itu yang sedang bergerak di jalan raya antara kampung Pueblo Rico dengan Santa Cecilia di wilayah Risaralda - kira-kira 230 kilometer ke barat laut ibu kota Bogota - ujar agensi kebangsaan negara itu yang mengurus risiko dan bencana (UNGRD) dalam satu kenyataan.
Pasukan penyelamat menggali lumpur untuk mencari mangsa yang terselamat, dan pihak berkuasa berkata sembilan orang telah dapat diselamatkan.
Seorang daripada mereka ialah seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun yang ditemui berpaut pada arwah ibunya, kata Gabenor Risaralda, Encik Victor Tamayo.
Sementara itu, Presiden Gustavo Petro, menyifatkan insiden itu sebagai tragedi dalam satu mesej Twitter.
"Bersatu hati bersama keluarga mangsa," kata Encik Petro sambil mengikrarkan sokongan daripada pemerintah.
Lapan daripada mangsa adalah di bawah umur, kata UNGRD.
Tanah runtuh adalah perkara biasa di Colombia kerana kawasan pergunungan, hujan lebat yang kerap dan pembinaan rumah tidak rasmi.
Negara itu akan menumpukan kepada aktiviti penghutanan semula bagi mengelak tragedi lanjut berkaitan tanah runtuh pada masa hadapan, kata Menteri Alam Sekitar, Cik Susana Muhamad dalam mesej di Twitter.
Dalam tragedi itu, bas itu dalam perjalanan dari Cali, bandar ketiga terbesar di Colombia, ke perbandaran Condoto, di wilayah Choco.
Colombia telah terjejas oleh musim hujan yang luar biasa lebat, disebabkan fenomena cuaca La Nina. - Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg