WASHINGTON: Amerika Syarikat kelmarin menawarkan AS$5 juta ($7 juta) untuk menjejak seorang ahli perniagaan Singapura yang dituduh melanggar sekatan ke atas Korea Utara, termasuk kiriman minyak ke atas kapal tangki yang dirampas tahun lalu.
Ganjaran itu diumumkan sedang Amerika menggesa penguatkuasaan ketat sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke atas Korea Utara selepas ia melancarkan peluru berpandu, termasuk yang mendarat berhampiran perairan Korea Selatan.
Jabatan Negara menawarkan sehingga AS$5 juta untuk mendapatkan maklumat mengenai Kwek Kee Seng.
Dia disyaki menjalankan banyak kiriman bahan api ke Korea Utara dan pemindahan kapal ke kapal, serta pengubahan wang haram melalui syarikat bayangan.
Pendakwa raya persekutuan di New York pada 2021 mengeluarkan waran tangkap ke atas Kwek, setahun selepas salah sebuah kapal tangki minyaknya, M/T Courageous, dirampas oleh Kemboja atas permintaan Amerika berhubung dakwaan pelanggaran sekatan.
Kwek, 62 tahun, memiliki syarikat perkapalan Swanseas Port Services di Singapura.
Program Ganjaran untuk Keadilan di Jabatan Negara berkata lokasi sebenar beliau tidak diketahui dan beliau juga pernah dijejak berada di Korea Utara, Kemboja, Taiwan dan Thailand, serta Cameroon dan negara kecil Caribbean iaitu Saint Kitts dan Nevis. - AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg