WASHINGTON: Ratusan tebuan gergasi Asia - sejenis serangga pemangsa yang diberi nama samaran "tebuan pembunuh" - telah muncul di negeri Washington dekat sempadan Canada, menimbulkan ancaman kepada manusia dan industri penternakan lebah, kata pegawai pertanian negeri pada Isnin (4 Mei).
Tebuan Vespa mandarinia yang menyengat itu boleh bersaiz 6.35 sentimeter panjang dan berasal dari Asia Tenggara, China dan Taiwan.
Ia pertama kali ditemui di Blaine, Washington, Disember lalu oleh seorang pemilik rumah, menurut ahli entomologi di Jabatan Pertanian negeri Washington, Encik Sven-Erik Spicheger.
"Tebuan gergasi Asia boleh menyengat anda berkali-kali dan memberi racun dalam dos lebih besar," kata Encik Spicheger kepada Reuters.
Beliau menambah kebanyakan orang boleh menahan satu atau dua sengatan tetapi sengatan yang banyak boleh membawa maut.
Di Jepun, tebuan itu membunuh sehingga 50 orang setahun, lapor New York Times.
Tebuan itu juga membahayakan industri penternakan lebah dan pertanian, kata Encik Spicheger, kerana serangga itu mampu menyerang lebah madu.
Saintis tidak dapat memastikan bagaimana tebuan gergasi Asia itu boleh sampai ke Blaine.
Senario yang paling berkemungkinan adalah ia tiba di atas kapal kontena yang berlabuh di salah satu pelabuhan Washington. - Agensi berita
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
1/3
Tutup Kuiz
28
0
'Tebuan pembunuh' yang mengancam manusia dan lebah tiba di Amerika
May 05, 2020 | 11:44 AM