Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Teheran digesa segera kembali runding perjanjian nuklear

'Gencatan' rundingan bersama Barat diumum susuli pilihan raya presiden Iran yang baru berlalu; Teheran didakwa mahu capai persetujuan sebelum presiden baru Ebrahim Raisi mulakan tugasnya Ogos
Jun 22, 2021 | 05:30 AM



VIENNA/DUBAI: Pegawai kanan Barat memberi amaran kepada Teheran kelmarin bahawa rundingan bagi perjanjian nuklear tidak dapat diteruskan bagi tempoh yang tidak pasti, selepas kedua-dua pihak mengumumkan 'gencatan' menyusuli pilihan raya presiden yang baru berlalu di Iran.



Rundingan nuklear ini telah bermula di Vienna, ibu kota Austria, sebuah negara banjaran gunung di Eropah Tengah, sejak April lalu bagi membuka ruang untuk Iran dan Amerika Syarikat kembali mematuhi perjanjian nuklear yang dimeterai, yang ditinggalkan Washington pada 2018 di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump, dan kemudiannya dicabuli Iran.



'Gencatan' pada rundingan kelmarin berlaku selepas Encik Ebrahim Raisi, seorang pemimpin Iran, memenangi pilihan raya presiden negara itu pada Jumaat lalu.



Dua diplomat berkata, mereka menjangkakan penggantungan rundingan sekitar 10 hari.



Encik Raisi, 60 tahun, secara rasmi akan menyandang jawatan presiden Iran pada awal Ogos ini, menggantikan Encik Hassan Rouhani, yang di bawah kepimpinannya Teheran telah mencapai persetujuan bagi membendung program nuklear mereka bagi pelepasan dari sekatan antarabangsa.



Bagaimanapun, beberapa pegawai Iran telah mengusulkan bahawa Teheran punya kepentingan untuk meneruskan rundingan bagi mencapai perjanjian yang sedang diusahakan sebelum presiden baru memulakan tugasnya pada Ogos ini, sekaligus tidak meletakkannya di pundak Encik Raisi.



Seorang pegawai pemerintah Iran yang rapat dengan rundingan itu memberitahu agensi berita Reuters, sekiranya satu perjanjian dapat diputuskan sebelum Encik Raisi mengambil alih jawatan sebagai presiden, presiden baru itu kelak boleh menolak tudingan bagi sebarang kesalahan yang mungkin timbul oleh pendahulunya.



"Rouhani, bukan Raisi, akan dipersalahkan bagi sebarang masalah di masa depan berkenaan perjanjian itu," kata sumber itu.



Britain, Perancis dan Jerman, kumpulan 'E3' Eropah, telah menjadi perantara, berulang-alik antara delegasi Iran dan pasukan Amerika - memandangkan Amerika yang telah berundur dari pasukan perantaraan itu - bukan lagi dianggap sebagai peserta rasmi.



Pegawai Iran dan Barat berasakan kemunculan Encik Raisi tidak mungkin merubah kedudukan rundingan Teheran dengan pemimpin tertinggi negara itu, Ayatollah Ali Khamenei, yang mempunyai kata putus bagi semua dasar utama Iran.



Encik Raisi, seorang ulama konservatif Iran, telah disahkan memenangi pilihan raya presiden Iran selepas memperoleh 62 peratus undi.



Menurut Encik Rouhani, penggantinya dipilih melalui proses terbuka, dengan tiga calon yang bersaing mengakui kekalahan mereka.



Menurut pegawai kementerian dalam negeri Iran, Encik Raisi meraih 17.9 juta undi dari 28 juta rakyat Iran yang keluar mengundi daripada keseluruhan 59 juta warga yang layak mengundi dalam pilihan raya kali ini.



Amerika bagaimanapun menyuarakan kekesalan dan mendakwa proses pemilihan presiden Iran gagal dilaksanakan secara bebas dan adil.



Dalam reaksi pertama Washington terhadap kemenangan calon ulama ultra-konservatif Encik Raisi, jurucakap Jabatan Negara berkata, rakyat Iran dinafikan hak untuk memilih pemimpin mereka sendiri dalam proses pemilihan yang bebas dan adil.



"Amerika akan tetap meneruskan rundingan tidak langsung dengan Iran mengenai penyertaan semula kami dalam perjanjian nuklear 2015 yang ditinggalkan (mantan presiden) Donald Trump," kata jurucakap itu.



Dua calon konservatif lain, iaitu Encik Mohsen Rezai dan Encik Amirhossein Ghazizadeh Hashemi selain satu-satunya calon reformis iaitu bekas gabenor bank pusat, Encik Abdolnasser Hemmati, turut mengucapkan tahniah kepada Encik Raisi.



Encik Raisi, mengambil alih kepimpinan negara pada waktu genting iaitu ketika Iran cuba merundingkan semula perjanjian nuklear dengan kuasa besar dunia, sekali gus menamatkan pelbagai sekatan terhadapnya yang dikenakan oleh Amerika.



Ketua badan kehakiman Iran itu juga dilihat amat rapat dengan pemimpin agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei, 81 tahun, yang dilihat sebagai kuasa politik terunggul di Iran.



Encik Raisi mengambil alih kepimpinan ketika Iran berdepan ketidakstabilan ekonomi yang semakin buruk termasuk disebabkan pandemik Covid-19 sehingga berlaku inflasi dan pengangguran. - AFP, Reuters




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >