Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tembak jatuh pesawat MH17 MAS: Lebih ramai suspek mungkin dinamakan

Feb 9, 2023 | 5:30 AM
PENEMUAN BARU: Pekerja mengangkut serpihan pesawat Malaysia Airlines MH17 di lokasi ia jatuh berhampiran perkampungan Hrabove (Grabovo) di wilayah Donetsk, timur Ukraine, pada 20 November 2014. Penyiasat antarabangsa dijangka membentangkan penemuan baru mereka. - Foto fail
PENEMUAN BARU: Pekerja mengangkut serpihan pesawat Malaysia Airlines MH17 di lokasi ia jatuh berhampiran perkampungan Hrabove (Grabovo) di wilayah Donetsk, timur Ukraine, pada 20 November 2014. Penyiasat antarabangsa dijangka membentangkan penemuan baru mereka. - Foto fail -

THE HAGUE: Penyiasat antarabangsa yang menyiasat insiden menembak jatuh pesawat Malaysia Airline MH17 di timur Ukraine pada 2014 dijangka membentangkan penemuan baru, termasuk kemungkinan menamakan suspek tambahan.

Pada November sebuah mahkamah di Belanda mensabitkan kesalahan dua bekas ejen perisik Russia dan seorang pemimpin kumpulan pemisah Ukraine atas tuduhan membunuh kerana membantu mengaturkan sistem peluru berpandu Russia yang digunakan untuk menembak jatuh pesawat itu, mengakibatkan 298 penumpang dan kru terbunuh.

Ketiga-tiga lelaki itu, yang dibicarakan tanpa kehadiran mereka, masih diburu.

Penyiasat terus mengumpulkan bukti berkaitan kemusnahan pesawat tersebut, dan mungkin mengenal pasti sama ada kru yang mengendalikan sistem peluru berpandu itu, atau pegawai tinggi tentera Russia atau pegawai politik yang meluluskan pemindahannya keluar masuk Ukraine.

Ia tergantung pada sebuah pasukan pendakwa berasingan untuk cuba mengambil tindakan pendakwaan.

Russia telah menafikan sebarang tanggungjawab bagi pemusnahan MH17.

Pesawat itu ditembak jatuh semasa dalam penerbangan di ruang angkasa di timur Ukraine dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai 2014, mengakibatkan semua penumpang di dalamnya terbunuh, termasuk 196 warga Belanda.

Berikutan kejadian itu, Belanda, Australia, Belgium, Ukraine dan Malaysia membentuk sebuah pasukan siasatan bersama bagi mengumpul untuk pendakwaan jenayah.

Pasukan itu dijadual mengadakan satu sidang media pada sekitar 8 malam waktu Singapura semalam.

Anggota keluarga mangsa insiden itu akan dimaklumkan mengenai hasil siasatan tersebut sebelum sidang media itu. tersebut.

Pada masa pesawat itu ditembak jatuh, tentera Ukraine sedang bertempur dengan pemisah pro-Russia di timur wilayah Donetsk Ukraine.

Walaupun Russia telah mengilhak (annex) Crimea pada Mac 2014, ia menafikan pelibatan ketenteraan dalam pertempuran di Donetsk pada masa itu.

Tetapi sebagai sebahagian daripada sabitan terhadap tiga lelaki itu pada November, mahkamah Belanda memutuskan bahawa Russia sebenarnya mempunyai "kawalan keseluruhan" terhadap pasukan pemisah di Donetsk bermula Mei 2014.

Russia menyerang Ukraine pada Februari 2022 dalam apa yang disebutnya sebagai "operasi ketenteraan khas" dan pada September lalu mengatakan ia telah mengilhak Donetsk. - Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg