Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Tempoh lepasi pemeriksaan imigresen di Tambak Johor kini lebih pantas

Feb 14, 2023 | 05:30 AM



JOHOR BAHRU: Kira-kira 2,300 kenderaan sejam kini boleh melepasi pemeriksaan imigresen di sebelah Tambak Johor, berikutan langkah jangka pendek yang dilaksanakan pihak berkuasa Malaysia.



Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, berkata terdapat penambahbaikan di kompleks Kastam, imigresen dan kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) selepas langkah pasukan tindak balas pantas (QRT) dilaksanakan pada 6 Februari lalu.



"QRT, satu inisiatif jangka pendek yang dilaksanakan kerajaan untuk memperbaiki isu kesesakan, menawarkan penyelesaian seperti latihan dan menempatkan kakitangan imigresen di pusat pemeriksaan untuk mengendali kaunter, terutama pada waktu sibuk," katanya.



Sebelum ini, kira-kira 1,400 kenderaan sejam boleh melepasi pemeriksaan imigresen, lapor The Star.



"Kini dengan QRT, kami boleh memproses sehingga 2,300 kenderaan dalam masa yang sama, jika pemandu dan penumpang tidak mempunyai masalah pelepasan dan mempunyai baki mencukupi dalam kad Touch 'n Go mereka (untuk pembayaran tol)," kata Datuk Khairul selepas melawat BSI CIQ pada Ahad.



"Pengunjung yang masuk ke Johor melalui bas juga boleh menikmati pelepasan imigresen lebih pantas kerana rakyat Singapura juga dibenarkan menggunakan kemudahan e-gate, yang sebelum ini terhad kepada pemegang pasport Malaysia," katanya.



"Sebelum ini, pihak berkuasa mengambil masa kira-kira empat hingga lima jam untuk mengendalikan 3,000 orang di dewan ketibaan pelawat.



"Masa itu kini telah dipendekkan kepada kira-kira tiga jam untuk mengendalikan bilangan pengunjung yang sama."



Datuk Khairul berkata membenarkan rakyat Singapura menggunakan kemudahan e-gate di CIQ telah menyumbang kepada peningkatan keseluruhan, walaupun tidak ramai yang menyedari kemudahan baru itu.



Sejak 20 Januari, apabila pemegang pasport Singapura dibenarkan menggunakan kemudahan e-gate, hanya kira-kira 16,000 rakyat Singapura telah menggunakannya - jauh lebih rendah daripada sasaran jabatan itu iaitu 35,000.



Risalah akan diedarkan mulai minggu ini untuk mewujudkan lebih banyak kesedaran di kalangan rakyat Singapura tentang kemudahan itu, terutamanya mereka yang kerap ke Johor Bahru untuk membeli-belah dan aktiviti rekreasi lain, kata Datuk Khairul.



QRT itu mula dilaksanakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2, dengan seramai 45 kakitangan, sebelum 71 kakitangan ditempatkan di Tambak Johor dan CIQ Linkedua bagi mengatasi masalah kesesakan di dua tempat itu.



"Di bawah inisiatif QRT, kakitangan jabatan dari unit lain dilatih dan ditugaskan untuk mengendalikan pusat pemeriksaan, tetapi yakinlah bahawa ia tidak akan menjejas prosedur operasi standard dan aliran kerja kami," kata Datuk Khairul.



Beliau berkata 20 lagi e-gate akan disediakan di BSI untuk menyediakan lebih banyak kemudahan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >