Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

PERANG DI UKRAINE

Tempuran sengit di dua bandar timur Ukraine

Oct 18, 2022 | 05:30 AM



KYIV: Pertempuran sengit antara tentera Russia dan Ukraine berlaku di sekitar dua bandar di wilayah Donetsk di timur Ukraine, Bakhmut dan Soledar, kata Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky, kelmarin.



Pertempuran semakin sengit berlaku hujung minggu lalu di wilayah Donetsk dan Luhansk, yang membentuk kawasan perindustrian Donbas yang lebih besar, dan wilayah strategik Kherson di selatan. Kawasan itu membentuk tiga daripada empat wilayah yang ditakluk Presiden Vladimir Putin sebagai sebahagian daripada wilayah Russia bulan lalu - tindakan yang ditolak oleh Ukraine dan sekutu Baratnya sebagai tidak sah.



Bakhmut menjadi sasaran angkatan tentera Russia dalam pergerakan perlahan mereka di rantau ini sejak mengambil bandar perindustrian utama Lysychansk dan Sievierodonetsk pada Jun dan Julai. Bandar Soledar terletak di utara Bakhmut.



"Tempat pertempuran utama di Donbas ialah Soledar dan Bakhmut," kata Encik Zelensky dalam ucapan video setiap malamnya. "Pertempuran sengit sedang berlaku di sana."



Tentera Russia membedil kedudukan Ukraine di beberapa bahagian kelmarin, kata Staf Jeneral Angkatan Tentera Ukraine, dengan sasaran termasuk bandar di wilayah Kharkiv, Donetsk dan Kherson.



Penganalisis tentera Ukraine, Encik Oleh Zhdanov, berpendapat pertempuran paling hebat berlaku di utara Bakhmut, dengan menegaskan bahawa tentera Ukraine telah menangkis kemaraan Russia di bandar Torske dan Sprine dalam tempoh 24 jam lalu.



"(Russia) telah memutuskan mahu bergerak melalui Torske dan Sprine," kata Encik Zhdanov. "Kedudukan di tempat-tempat itu bertukar tangan secara kerap. Perintah kami mengalihkan bala bantuan di sana, anggota dan meriam untuk menentang Russia di kawasan tersebut."



Kementerian pertahanan Russia pula berkata kelmarin tenteranya telah menangkis kemaraan tentera Ukraine di wilayah Donetsk, Kherson dan Mykolaiv, menyebabkan apa yang disifatkannya sebagai kehilangan besar ke atas Ukraine.



Russia juga berkata ia meneruskan serangan udara ke atas sasaran tentera dan tenaga di Ukraine, menggunakan senjata berpandu jarak jauh.



Rybar, saluran ketenteraan pro-Russia di Telegram, berkata angkatan bersenjata Ukraine sekali lagi membedil Belgorod, sebuah bandar di selatan Russia yang berfungsi sebagai tempat perhimpunan tentera Russia.



Unit antipesawat memintas kebanyakan serangan, tetapi terdapat dua letupan berhampiran lapangan terbang. Tiga orang cedera, katanya.



Serangan oleh tentera Ukraine merosakkan bangunan pentadbiran di bandar Donetsk, ibu kota wilayah Donetsk, kata ketua pentadbiran yang disokong Russia kelmarin.



"Ia terkena langsung, bangunan itu rosak teruk. Ia adalah satu keajaiban tiada siapa yang terbunuh," kata Encik Alexei Kulemzin, semasa meninjau kerosakan, sambil menambah bahawa semua perkhidmatan bandar masih berfungsi.



Tiada reaksi segera dari Ukraine terhadap serangan ke atas bandar Donetsk, yang telah dirampas golongan pemisah yang disokong Russia pada 2014 bersama sebahagian besar wilayah Donbas.



Jurucakap Komand Tentera Selatan Ukraine pula berkata, tentera Russia mengalami kekurangan peralatan yang teruk termasuk peluru akibat kerosakan yang berlaku pada hujung minggu lalu di Jambatan Crimea.



"Hampir 75 peratus (bekalan tentera Russia di selatan Ukraine) melalui jambatan itu," kata Cik Natalia Humeniuk kepada televisyen Ukraine, sambil menambah bahawa angin kencang juga kini menghentikan khidmat feri di kawasan itu.



"Sekarang laut berpihak kepada kami," katanya.



Presiden Putin menyalahkan khidmat keselamatan Ukraine atas letupan jambatan itu dan Isnin lalu, sebagai tindakan balas, mengarahkan serangan udara besar-besaran terhadap bandar-bandar Ukraine, termasuk ibu kota Kyiv. - Reuters.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >