Singapura menolak idea supaya berbincang dengan junta tentera Myanmar, dengan Menteri Luar, Dr Vivian Balakrishnan, menegaskan kurangnya kemajuan, daripada pihak junta, ke arah memenuhi rancangan damai 2021.
Beliau mengulas laporan Reuters yang diterbitkan pada Jumaat bahawa kerajaan sementara Thailand, yang terdiri daripada gabungan protentera, bercadang “melibatkan semula sepenuhnya” pemerintah tentera Myanmar dan telah menjemput menteri luar Asean ke mesyuarat tidak rasmi pada Ahad.
“Daripada perspektif Asean, kami mempunyai konsensus lima perkara,” kata Dr Balakrishnan mengenai perjanjian 2021 antara Asean dengan junta Myanmar yang, antara lain, menyeru agar keganasan dihentikan serta-merta dan diadakan dialog dalam kalangan semua pihak.
“Kami tidak melihat sebarang kemajuan ketara dalam memenuhi konsensus itu.
“Jadi kami percaya adalah terlalu awal untuk libatkan semula dengan pihak junta di peringkat sidang puncak, atau malah di peringkat menteri luar,” tambahnya, sebagai menjawab soalan yang dikemukakan pada sidang media selepas pertemuannya dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Anthony Blinken.
Pemimpin Asean telah menegaskan semula pendirian itu semasa sidang puncak mereka pada Mei lalu, kata Dr Balakrishnan, yang sedang dalam lawatan rasmi ke Washington.
Reuters melaporkan bahawa pengerusi Asean sekarang ini, Indonesia, telah menolak undangan untuk menghadiri mesyuarat pada Ahad, yang mana menteri luar junta Myanmar juga telah diundang.
Cadangan itu dibuat dalam satu surat bertarikh 14 Jun kepada rakan sejawatan Asean daripada Menteri Luar Thailand, Encik Don Pramudwinai, yang dilihat oleh Reuters pada Jumaat dan disahkan oleh tiga sumber yang mempunyai pengetahuan mengenai mesyuarat yang dirancang.
Pemimpin junta tentera Myanmar telah selama hampir dua tahun dihalang oleh Asean daripada mesyuarat peringkat tingginya kerana kegagalannya untuk mematuhi perjanjian 2021 konsensus lima perkara.
Pada Jumaat, Dr Balakrishnan berkata walaupun rundingan antara semua pihak akhirnya akan diperlukan untuk menyelesaikan krisis Myanmar, yang dicetuskan oleh rampasan kuasa tentera pada Februari 2021, beliau tidak tahu bila rundingan sedemikian boleh berlaku.
“Kali terakhir ia mengambil masa 25 tahun untuk diwujudkan beberapa bentuk peralihan demokrasi. Saya harap ia tidak akan mengambil masa yang lama, tetapi ia sangat penting untuk kita yang lain.. .untuk memastikan tahap keganasan menurun,” katanya.
Dr Balakrishnan juga mengulas mengenai satu laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Mei lalu bahawa Singapura dan negara lain telah membolehkan pengaliran senjata ke Myanmar.
Laporan itu, oleh Pelapor Khas PBB, Encik Tom Andrews, merumuskan bahawa senjata bernilai AS$254 juta ($340 juta) dan bahan berkaitan telah didagangkan kepada tentera Myanmar daripada entiti yang beroperasi di Singapura.
Dr Balakrishnan berkata Singapura melarang penjualan senjata, serta barang dwiguna yang boleh digunakan untuk mendatangkan kemudaratan kepada orang awam, dan menyatakan bahawa laporan PBB telah membuat kesimpulan bahawa tiada petanda bahawa pemerintah Singapura telah meluluskan atau terlibat dalam aliran senjata ke junta tentera Myanmar.
Beliau menambah bahawa Singapura juga sedang berbincang dengan Encik Andrews untuk melihat sama ada beliau mempunyai maklumat yang boleh digunakan untuk menyiasat atau mendakwa syarikat atau entiti yang melanggar undang-undang negara ini yang melarang penyeludupan senjata.
“Namun persoalan yang lebih besar ialah bila keamanan akan kembali. Saya khuatir saya kekal pesimis,” tambah beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg