Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Terperangkap dalam rempuhan: Warga S'pura kongsi pengalaman ngeri

Nov 01, 2022 | 05:30 AM



SEORANG warga Singapura yang tiba di Seoul Sabtu lalu terperangkap di tengah-tengah kejadian rempuhan manusia yang meragut sekurang-kurangnya 153 nyawa apabila perayaan Halloween bertukar menjadi bencana pada malam itu.



Encik Koh Ming En, 25 tahun, dan dua lagi warga Singapura telah pergi ke daerah Itaewon di ibu kota Korea Selatan untuk menikmati perayaan itu, tetapi beliau tidak lama kemudian dipisahkan daripada rakan-rakannya dan terpaksa menyelamatkan dirinya.



Mengimbas kembali pengalamannya yang mengerikan, juruvideo itu memberitahu The Straits Times: "Pada beberapa ketika, orang ramai diasak seperti 'gelombang'. Orang ramai hilang keseimbangan. Saya dan rakan-rakan panik dan kami hanya cuba yang terbaik untuk terus hidup di tengah-tengah rempuhan itu."



Semasa mereka cuba mencari jalan keluar, ketiga-tiga mereka tiba di satu cerun yang membawa kepada jalan keluar, tetapi di tengah-tengah orang ramai yang semakin ramai, Encik Koh dihimpit ke dinding dan hilang pandangan rakan-rakannya.



Encik Koh berkata beliau sukar bernafas kerana tersepit di antara manusia.



Beliau kemudian melihat tebing kira-kira setengah tingkat di atas dan naik ke atasnya, berharap dapat memasuki sebuah bar dari balkoninya, tetapi beliau dihalang oleh seorang bouncer.



"Ketika saya berdiri di tebing... ada yang menghulurkan tangan kepada saya dari bawah, mahu saya menariknya ke atas. Saya cuba tetapi tidak dapat lakukannya kerana ia berbahaya," kata Encik Koh.



Berpegang pada apa yang kelihatan seperti wayar, beliau menyusuri jalan di sepanjang tebing dan tiba di satu kawasan yang agak luas. Tetapi beliau tidak dapat turun kerana terlalu tinggi untuk melompat ke bawah.



Encik Koh memutuskan menggelongsor ke bawah bumbung rumah kedai berdekatan dan melompat ke atas beberapa beg sampah sebelum selamat.



"Saya orang terakhir yang keluar. Kedua-dua rakan saya tidak cedera. Saya mengalami beberapa luka, tetapi ia tidak seberapa berbanding mereka yang pengsan atau terpijak. Saya tidak dapat bayangkan apa yang akan berlaku jika kami terus berada di sana. Kami boleh mati," katanya.



Seorang lagi pelancong, Cik Katie Brock, 37, seorang pereka grafik dari Canada di Korea Selatan untuk bercuti selama dua bulan, turut bernasib baik kerana dapat menyelamatkan diri.



Cik Brock, yang bersama rakannya, ditolak ke lorong sempit berhampiran Hotel Hamilton, tempat kejadian itu bermula. Orang ramai bersesak antara satu sama lain dengan begitu ketat sehingga tiada sesiapa boleh bergerak ke mana-mana arah, katanya.



"Kami mendengar beberapa jeritan terpencil dari atas dan melihat orang ramai membuat penggambaran. Saya fikir mungkin ada persembahan yang menakutkan tetapi tidak dapat melihat apa yang berlaku," katanya kepada ST.



Ketika orang ramai bertambah ramai, kasutnya tercabut dan dia mula menjerit kesakitan ketika orang memijak kakinya. Beliau kemudian ditarik ke ruang ceruk di depan pintu masuk sebuah kelab.



"Apa yang hanya boleh saya lakukan ialah menyandarkan diri ke dinding... Kelab itu tidak mahu membuka pintunya walaupun ramai yang merayu. Saya terfikir... jika ia menjadi lebih teruk, kami mungkin akan mati di sini, dengan pekerja kelab sekadar memerhati kami sahaja dari dalam kelab itu," kata Cik Brock.



Pintu akhirnya terbuka dan beliau bersama beberapa orang lain berjaya memasuki kelab itu, yang terletak di ruang besmen. Pasukan menyelamat tiba kemudian dan membenarkan mereka keluar dari kelab itu sekitar jam 11.30 malam (10.30 malam di Singapura).



Menggambarkan adegan itu, Cik Brock berkata: "Sesetengah mangsa berada di atas pengusung, tetapi ramai diangkat dengan tangan, muka mereka biru. Jalan di hujung lorong itu dipenuhi dengan berpuluh-puluh ambulans dan mayat."



Beliau berkata orang yang lalu lalang kelihatan memberikan pertolongan cemas kepada yang cedera, dan ada yang dilihat menyelubungi mangsa dengan selimut.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >