Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Teruja pembangunan sekitar ibu kota baru Indonesia, Nusantara, kian rancak

Jun 25, 2022 | 05:30 AM



SELEPAS melawat tapak ibu kota Indonesia baru di wilayah Kalimantan Timur Rabu lalu, Presiden Indonesia, Encik Joko Widodo (Jokowi), melahirkan rasa teruja dengan perkembangan pembangunan di situ.



Ini memandangkan wawasan beliau bagi Indonesia memiliki ibu kota baru bernama Nusantara maju selangkah lebih dekat sedang projek pembinaan di situ mula rancak.



Menulis di laman Facebooknya selepas melawat kawasan Nusantara, Encik Jokowi memberi perkembangan terbaru mengenai pembangunan di situ.



Ini termasuk jalan raya tol Balikpapan-Samarinda yang sudah beroperasi, selain Jambatan Pulau Balang yang menghubungkan Balikpapan ke Penajam Paser Utara yang juga sudah selesai.



Beliau menambah, pembangunan Empangan Sepaku Semoi bagi bekalan air di ibu kota Nusantara juga sudah lebih 50 peratus siap.



Selain itu, Tapak Semai Mentawir juga sedang menyiapkan pokok-pokok untuk ditanam di sekitar kawasan sekitar ibu kota itu.



"Dan bulan depan, pemerintah akan mula membangunkan jalan utama dari jalan tol Balikpapan ke Nusantara.



"Semua ini menunjukkan pembangunan prasarana di kawasan ibu kota Nusantara sudah dimulai," tulisnya.



Rancangan mahu memindahkan ibu kota negara itu dari Jakarta di Pulau Jawa, yang begitu padat penduduknya, kali pertamanya diumumkan pemerintah pada April 2019.



Beberapa bulan kemudian, Encik Jokowi mengumumkan dua daerah di wilayah Kalimantan Timur - Penajam Paser Utara dan Kutai Kertanegara - sebagai tapak ibu kota baru itu.



NAMA NUSANTARA DIPILIH



Beliau kemudiannya memilih Nusantara - yang bermakna kepulauan - sebagai nama bagi ibu kota baru itu.



Sebabnya: Nusantara adalah nama yang sudah terkenal sejak dahulu lagi.



"Namanya ikonik di peringkat antarabangsa, mudah dan ia menggambarkan kepulauan Republik Indonesia," kata seorang pegawai kanan pemerintah Indonesia.



Dengan keluasan kira-kira 127,000 kilometer persegi, wilayah Kalimantan Timur mempunyai lebih 3.7 juta penduduk.



Kawasan ibu kota Nusantara itu sendiri seluas 56,00 hektar (ha), berbanding Singapura yang seluas kira-kira 72,000ha.



Projek pecah tanah pembinaan berbilion dolar itu pada mulanya dijadual bermula Ogos 2020, tetapi pandemik Covid- 19 telah memaksa pemerintah Indonesia menangguhkannya.



Ibu kota baru itu akan berfungsi sebagai pusat kerajaan, manakala Jakarta, ibu kota sekarang yang menempatkan lebih 10 juta penduduk, akan kekal sebagai pusat perniagaan dan ekonomi Indonesia - ekonomi terbesar Asia Tenggara.



LOKASI



Encik Jokowi telah memilih lokasi di Kalimantan Timur, yang tidak mempunyai sejarah bencana alam yang dahsyat seperti gempa bumi, tsunami dan letusan gunung berapi.



Memang masih berlaku banjir di kawasan itu, namun kebanyakannya adalah angkara buatan manusia yang boleh dicegah atau dikurangkan.



Menelan belanja 466 trilion rupiah ($44 bilion), pembinaan awal kawasan Nusantara kini giat dijalankan, walaupun masih ada sebilangan pakar meragui projek itu akan menjadi kenyataan.



Projek mega itu, bahagian penting agenda ekonomi Encik Widodo, akan menyaksikan Indonesia memindahkan ibu kotanya dari Jakarta yang sesak teruk ke kawasan kurang membangun di pulau Borneo.



Parlimen Indonesia telah pun meluluskan rang undang-undang pada Januari lalu yang menyediakan rangka kerja undang-undang bagi pembangunan ibu kota baru itu.



Ibu kota Nusantara dijadual dibuka secara rasmi pada Oktober 2024, apabila penggal Encik Jokowi sebagai presiden berakhir.



Penyiapan sepenuhnya projek mega itu dijangka dalam tempoh 15 hingga 20 tahun.



MASIH ADA YANG RAGU



Namun satu tinjauan yang dikeluarkan bulan ini oleh Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa Indonesia mendapati hampir 59 peratus daripada 170 pakar yang ditanya telah melahirkan rasa tidak pasti Nusantara akan menjadi kenyataan, menukil ketidakpastian mengenai pembiayaan dan pengurusan.



Sebelum ini, dilaporkan bahawa dianggarkan 19 peratus pembiayaan akan ditampung belanjawan negara, dengan baki dana daripada perkongsian awam-swasta dan pelaburan swasta, menurut Agensi Perancangan Pembangunan Nasional Indonesia.



Beberapa pelabur besar dilaporkan telah menarik diri termasuk syarikat SoftBank Jepun. Sebelum ini, syarikat Alibaba Cloud juga merancang mahu melabur tetapi kemudian mengubah fikirannya.



Gangguan ekonomi berkaitan Covid-19 juga telah memaksa pelabur lain untuk lebih berhati-hati.



Namun pemerintah Indonesia kekal optimis mengenai minat pelabur terhadap ibu kota Nusantara.



Menteri Penyelaras Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan, Encik Luhut Pandjaitan, dilaporkan sebelum ini sebagai berkata beberapa negara termasuk Arab Saudi, Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan China telah menunjukkan minat mahu melabur dalam projek infrastruktur di Nusantara sama ada secara individu atau melalui konsortium.



Dan memandangkan Encik Jokowi melihat Nusantara sebagai projek legasinya, beliau pasti berminat mahu memastikan projek ibu kota baru itu akan menjadi kenyataan sebelum beliau berundur pada 2024.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >