Terus jalankan tugas beritahu dunia tentang bencana di Sulawesi meskipun derita barah

JAKARTA: Jurucakap agensi bencana Indonesia setia menjalankan tugas menyampaikan maklumat kepada dunia tentang perkembangan terkini menyusuli gempa bumi dan tsunami yang melanda Sulawesi baru-baru ini.

Ini meskipun beliau menderita barah.

Dr Sutopo Purwo Nugroho, yang lebih dikenali sebagai Pak Topo, enggan menyuruh orang lain mengambil alih tugasnya.

Sebaliknya, beliau menghadiri taklimat media setiap hari serta menjawab panggilan wartawan dan memuat naik maklumat terkini di media sosial.

Walaupun rasa lemah akibat menghidap barah paru-paru tahap keempat, beliau tetap menjalankan tugasnya dengan baik.

“Saya tidak dapat berbohong tentang keadaan fizikal saya – barah ini telah merebak ke bahagian lain tubuh saya dan saya rasa lemah.

“Saya memohon maaf kalau saya tidak dapat menjawab setiap soalan wartawan. Kalau saya sihat, pasti saya akan lakukan demikian walau apa pun yang berlaku,” katanya menerusi satu mesej di media sosial. -AFP