BANGKOK: Thailand sedang dilanda gelombang panas yang buruk dengan suhu memuncak sehingga mencecah paras tertinggi di beberapa kawasan.

Sementara pihak berkuasa memberi amaran, cuaca dijangka menjadi lebih panas dalam beberapa hari akan datang.

Lebih 30 daerah di seluruh 77 wilayah Thailand telah mencatatkan suhu tertinggi pada April yang selalunya memang bulan yang panas sepanjang tahun.

Kali ini ia mencatatkan paras tertinggi, mengatasi rekod sejak 1958, menurut data daripada Jabatan Meteorologi Thailand.

Suhu telah melebihi 40 darjah Celsius di 26 wilayah pada April, menurut agensi itu.

Wilayah utara Lampang telah mencatatkan suhu tertinggi setakat ini pada 2024, iaitu 44.2 darjah Celsius, rendah sedikit daripada suhu tertinggi yang pernah direkodkan di Thailand – 44.6 darjah Celsius – yang kali terakhir dilihat pada 2016 dan 2023.

Penggunaan kuasa di Thailand melonjak kepada satu lagi rekod 36,699MW pada 29 April, di tengah-tengah suhu yang meningkat, menurut data di laman web pengawal selia kuasa tenaga negara.

Itu adalah permintaan kali ketiga mencecah kemuncak baru dalam masa sekitar seminggu.

Biro cuaca menasihatkan orang ramai supaya mengelak aktiviti luar untuk jangka masa yang panjang, dengan suhu maksimum di kebanyakan wilayah dijangka mencecah 40 darjah Celsius pada 30 April.

Kematian berkaitan haba meningkat kepada kira-kira 30 di serata negara pada 2023, kata Kementerian Kesihatan Awam Thailand minggu lalu.

Indeks haba Bangkok – iaitu ukuran betapa panasnya apabila mengambil kira kadar kelembapan – disenaraikan di atas 52 darjah Celsius dan “sangat berbahaya” pada 30 April, menurut catatan Facebook oleh pentadbiran metropolitan. – Agensi berita.