BANGKOK: Thailand tidak akan mengenakan kuarantin bagi pelancong yang sudah menerima vaksin Covid-19 yang datang ke Phuket bermula 1 Julai ini.

Satu panel ekonomi yang dipengerusikan Perdana Menteri Prayut Chan-o-cha pada Jumaat (26 Mac) menyetujui cadangan sektor swasta dan perniagaan Phuket untuk memvaksinasi sekurang-kurangnya 70 peratus penduduk pulau itu sebagai persiapan pembukaan semula kepada pelancong yang sudah divaksinasi.

Pemerintah bercadang menguji rancangan pembukaan semula Phuket sebelum meluaskannya kepada kawasan pelancongan popular lain seperti Koh Samui, untuk membantu menghidupkan semula industri pelancongan yang teruk terjejas oleh pandemik Covid-19.

Persetujuan tersebut bermakna Phuket akan dibuka semula tiga bulan lebih awal berbanding kawasan lain di negara itu, yang dijangka dibuka semula kepada mereka yang sudah divaksinasi sepenuhnya jelang Oktober.

Penduduk Phuket juga akan diberi keutamaan untuk divaksinasi, dengan lebih 930,000 dos dijangka diberikan sebelum pembukaan semulanya, kata Encik Bhummikitti Ruktaengam, presiden kesatuan pelancongan pulau tersebut.

Pembukaan semula awal itu dapat menambah lebih 30 bilion baht ($1.3 bilion) kepada ekonomi Thailand. - Agensi berita