Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Thailand perluas kawasan perintah berkurung dengan tambahan kes Covid-19

Jul 18, 2021 | 3:00 PM
APABILA PERINTAH BERKURUNG DILAKSANA: Beberapa pelayan pusat makanan di sebuah pusat beli-belah di Bangkok menanti pelanggan menempah makanan untuk dibawa pulang:sebelum perintah berkurung dilaksanakan mulai 9 malam menyusuli peningkatan kes Covid-19. Foto EPA-EFE/NARONG SANGNAK
APABILA PERINTAH BERKURUNG DILAKSANA: Beberapa pelayan pusat makanan di sebuah pusat beli-belah di Bangkok menanti pelanggan menempah makanan untuk dibawa pulang:sebelum perintah berkurung dilaksanakan mulai 9 malam menyusuli peningkatan kes Covid-19. Foto EPA-EFE/NARONG SANGNAK -

BANGKOK: Thailand mengumumkan peluasan sekatan koronavirus pada Ahad (18 Julai) yang meliputi sekatan kembara, penutupan pusat beli-belah dan penguatkuasaan perintah berkurung pada waktu malam di tiga wilayah selepas negara itu melaporkan rekod jumlah kes harian Covid-19 tertinggi pada hari ketiga berturut-turut.

Negara ini melaporkan 11,397 jangkitan dan 101 kematian pada Ahad, membawa pada jumlah keseluruhan kes koronavirus mencecah 403,286 kes dan catatan 3,341 kes kematian, yang kebanyakannya berlaku dari penularan terkini sejak April lalu yang berpunca dari varian Alpha dan Delta yang mudah menjangkiti.

Pusat beli-belah akan ditutup dengan perintah berkurung antara 9 malam dengan 4 pagi diperkenalkan mulai Selasa di wilayah Chonburi, Ayutthaya dan Chachoengsao, jelas satu pengumuman dalam penerbitan rasmi Royal Gazette pada Ahad.

Bangkok dan sembilan wilayah lain sudah pun diletakkan di bawah sekatan ini, tindakan kerajaan Thailand yang dianggap paling tegas dalam tempoh lebih setahun, sejak Isnin lalu, sedang negara ini melawan penularan wabak paling lama dan teruk sejauh ini.

Kerajaan Thailand sebelum ini melahirkan hasrat mengenalkan sekatan pada pergerakan melihat pada bilangan kes yang bertambah dan terus meningkat walaupun perintah berkurung dikenalkan sebahagiannya di kawasan berisiko tinggi sehingga tampungan jagaan kesihatan dan pegawai kesihatan merasakan bahang tekanannya di samping penularan wabak yang dikatakan akan berlanjutan buat berbulan lamanya.

Aktivis belia Thailand malah berikrar ingin mengadakan tunjuk perasaan pada Ahad bagi mendesak Perdana Menteri Prayut Chan-o-cha agar meletakkan jawatan meskipun perhimpunan awam serata negara dilarang kerajaan ekoran kes koronavirus yang meningkat.

Tunjuk perasaan pimpinan belia tahun lalu menarik ratusan ribu orang dari merata Thailand tetapi momentum mereka terhenti apabila pihak berkuasa menghentikan perhimpunan beramai-ramai dan menahan pemimpin sesi demonstrasi ini selepas gelombang baru jangkitan Covid-19 melanda.

Tahun lalu, sesi bantahan yang berlaku turut melanggar larangan tradisional mengkritik secara terbuka raja Thailand, satu kesalahan di bawah undang-undang kerajaan Thailand yang tegas, menjadikan setiap kesalahan mengutuk atau memalukan raja, permaisuri, keturunan dan pemangku raja dikenakan hukuman penjara hingga 15 tahun.

Kebanyakan pemimpin demonstrasi bantahan ini yang ditangkap telah dibebaskan dengan ikat jamin. Beberapa orang dari mereka malah mengambil bahagian dalam protes antikerajaan bulan lalu.

"Kami harus keluarkan Prayut daripada kepimpinannya meskipun ikat jamin saya dibatalkan," kata pemimpin sesi bantahan, Arnon Nampa, di ambang perhimpunan Ahad dari Monumen Demokrasi ke Rumah Kerajaan di Bangkok.

Protes ini juga menandakan ulang tahun pertama sesi tunjuk perasaan di jalanan berskala besar yang dipimpin kumpulan belia, menggesa Encik Prayut agar meletakkan jawatan, perlembagaan baru dibentuk dan reformasi besar ke peringkat pemerintahan beraja terlaksana.

Kerajaan Thailand awal daripada ini telah mengenakan sekatan serata negara pada perhimpunan awam seramai lebih lima orang yang membawa pada hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda hingga 40,000 baht (S$1,656), atau kedua-duanya sekali.

Negara ini melaporkan rekod kes harian baru yang tinggi bagi tiga hari berturut-turut pada Ahad.

Pihak polis menggesa orang ramai agar tidak menyertai protes ini dan memberi amaran mereka yang melanggar undang-undang dan menimbulkan kekecohan akan berdepan dengan tuduhan.

Tunjuk perasaan jalanan menentang Perdana Menteri telah diadakan dalam beberapa minggu ini oleh beberapa kumpulan termasuk bekas sekutu politik Encik Prayut, sedang rasa bingit timbul dalam situasi gelombang jangkitan yng meningkat serta badai berpanjangan yang dibawa pandemik ini kepada ekonomi Thailand. - Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg