Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Thailand tambah jarak masa dos pertama dan kedua vaksin AstraZeneca ke 16 minggu

May 26, 2021 | 5:30 AM
KESELAMATAN KESIHATAN: Kakitangan kesihatan Thailand mengumpul sampel semasa ujian pengesanan Covid-19 masyarakat di tempat meletak kenderaan di Bangkok, Thailand kelmarin. - Foto EPA-EFE
KESELAMATAN KESIHATAN: Kakitangan kesihatan Thailand mengumpul sampel semasa ujian pengesanan Covid-19 masyarakat di tempat meletak kenderaan di Bangkok, Thailand kelmarin. - Foto EPA-EFE -

BANGKOK: Thailand akan merenggangkan masa antara pemberian suntikan pertama dan kedua vaksin Covid-19 AstraZeneca kepada 16 minggu, dalam usaha untuk membolehkan lebih ramai orang menjalani inokulasi dengan lebih pantas, kata seorang pegawai kanan kesihatan negara itu, kelmarin.

Perancangan itu menuruti keputusan serupa yang dilakukan Sepanyol yang menjarakkan tempoh antara dua dos AstraZeneca kepada 16 minggu, melebihi masa 12 minggu yang diluluskan oleh Agensi Perubatan Eropah.

Jarak masa 16 minggu boleh dicuba menerusi ujian ke atas manusia.

Thailand pada Ahad lalu mengumumkan ia telah mengesan penularan setempat Covid-19 varian Afrika Selatan membabitkan seorang peniaga dari Tak Bai, Narathiwat.

Lelaki warga Thailand berusia 32 tahun itu disahkan positif varian B.1.351 pada 4 Mei lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit Berjangkit, Dr Opas Kamkawinpong, berkata lelaki itu diziarahi ahli keluarganya - isteri yang juga warga Malaysia, anak dan ibu mentua - yang menyeberang sempadan secara sah dari Malaysia.

Kesemua mereka tidak menjalani kuarantin mandatori.

Beliau berkata, mereka semua tinggal di Thailand dari 12 April hingga 4 Mei dan sudah pulang ke Malaysia.

"Varian Afrika Selatan yang dikesan di Thailand sama dengan yang terdapat di Malaysia.

"Berikutan kawalan pergerakan di wilayah itu dari 9 hingga 22 Mei, situasinya adalah terkawal. Tiada jangkitan baharu dilaporkan," katanya semasa taklimat harian Covid19, di sini, pada 23 Mei lalu.

Dr Opas menambah, pihak berkuasa kesihatan telah mengesan 698 kontak rapat dengan 81 disahkan positif Covid-19.

Beliau berkata, pengesanan kes aktif dilakukan terhadap 160 individu dalam masyarakat dengan dua didapati positif.

"Seramai 83 pesakit diuji positif daripada kluster ini dan tiga didapati dijangkiti varian Afrika Selatan.

"Mereka tidak mempunyai gejala teruk dan dirawat di hospital.

"Seramai 16 pesakit sudah pulih dan keluar hospital, manakala 67 masih dirawat," katanya.

Sementara itu, jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), Dr Taweesin Visanuyothin, berkata perintah kawalan pergerakan diperketat dikenakan di tapak binaan di daerah Lak Si, Bangkok, selepas lebih 1,100 pekerja dikesan positif Covid-19.

"Dengan sekatan itu, kami berharap dapat membendung wabak di tapak pembinaan berkenaan," katanya.

Thailand sejak permulaan April telah terkapai-kapai dalam menangani gelombang ketiga penularan jangkitan koronavirus, dengan penularan terkini mencakupi 80 peratus daripada sejumlah 132,213 kes dan 806 kematian.

Thailand akan memberi tumpuan kepada suntikan pertama dos AstraZeneca antara Jun dengan September ini, menurut Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Thailand, Encik Kiattiphum Wongrajit, yang dipetik agensi berita Reuters.

Thailand sebelum ini menyatakan ia bercadang untuk menyediakan vaksinasi untuk 70 peratus rakyatnya menjelang September ini bagi mencapai tahap kelalian masyarakat. - Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg