Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tiada bukti sokong tuduhan Trump bahawa Obama intipnya

Mar 21, 2017 | 8:54 AM
Encik James Comey, pengarah Biro Siasatan Federal (FBI), memberi keterangan semasa sesi siasatan Jawatankuasa Perisikan Dewan mengenai campur tangan Russia dalam pilihan raya 2016 Amerika Syarikat, di Capitol Hill.
Encik James Comey, pengarah Biro Siasatan Federal (FBI), memberi keterangan semasa sesi siasatan Jawatankuasa Perisikan Dewan mengenai campur tangan Russia dalam pilihan raya 2016 Amerika Syarikat, di Capitol Hill. - GAMBAR AFP

WASHINGTON: Baik Jabatan Kehakiman mahupun Biro Siasatan Federal (FBI) tidak mempunyai bukti untuk menyokong dakwaan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, bahawa ibu pejabat beliau di Menara Trump diintip semasa kempen pilihan raya 2016, kata Pengarah FBI, Encik James Comey.

"Berkenaan tweet Presiden mengenai dakwaan pengintipan yang menyasarkan beliau oleh pentadbiran terdahulu, saya tidak ada maklumat yang menyokong tweet itu," ujar Encik Comey kepada satu sesi siasatan Jawatankuasa Perisikan Dewan pada Isnin (20 Mac).

"Dan kami telah menyiasat dengan berhati-hati di FBI. Jabatan Kehakiman telah meminta saya berkongsi dengan anda bahawa jawapannya sama bagi Jabatan Kehakiman dan semua komponennya: Jabatan itu tidak mempunyai maklumat yang menyokong tweet tersebut," kata beliau.

Encik Comey memberi keterangan di depan jawatankuasa Dewan itu bersama ketua Agensi Keselamatan Negara (NSA), Laksamana Mike Rogers, yang juga dengan tegas menyangkal dakwaan pentadbiran Trump bahawa NSA meminta agensi perisikan GCHQ Britain mengintip Encik Trump.

Kenyataan mereka adalah penolakan paling tegas oleh para pegawai kanan pemerintah terhadap tuduhan luar biasa Presiden Trump terhadap pendahulunya, Encik Barack Obama.

Dalam tweet pada 4 Mac, Encik Trump mendakwa Encik Obama mengarahkan Menara Trump diintip. Dakwaan itu dinafikan para pegawai pentadbiran Obama.

Pada permulaan sesi siasatan itu, Anggota Dewan Devin Nunes, pengerusi daripada parti Republikan Jawatankuasa Perisikan Dewan, juga menolak dakwaan pengintipan tersebut, dengan berkata: "Biar saya jelaskan. Kita tahu tidak ada pengintipan ke atas Menara Trump." - Reuters, AFP

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg