KUALA LUMPUR: Walaupun tiada perubahan tentang keadaan banjir di Pahang, Terengganu, Johor dan Kelantan, keadaan semakin baik di Perak dengan berkurangnya jumlah mangsa banjir.
Di Pahang, jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Sinar Mutiara, di Sungai Miang, Pekan, kekal seramai 141 orang, sehingga petang kelmarin.
Di Terengganu, 37 orang dari 10 keluarga masih lagi ditempatkan di SK Atas Tol di Kuala Terengganu, satu-satunya PPS yang masih beroperasi di negeri itu.
Di Johor, jumlah mangsa banjir kekal seramai 91 orang sehingga 8 malam kelmarin, dengan tiga buah PPS masih dibuka di Segamat, yang menempatkan 21 keluarga, dan PPS di Mersing pula menempatkan tiga buah keluarga.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Johor berkata dalam satu kenyataan, PPS di Segamat adalah Balai Raya Kampung (Kg) Batu Badak, Balai Raya Kg Kuala Paya dan Dewan Komuniti Kampung Tasek, manakala PPS di Mersing, Sekolah Agama (SA) Pangkalan Batu.
Di Kelantan, seramai 2,019 mangsa banjir daripada 637 keluarga di jajahan Pasir Mas ditempatkan di tujuh PPS pada pagi kelmarin, jumlah yang sama direkodkan malam kelmarin.
Sekretariat JPBN Kelantan memaklumkan, 712 mangsa berlindung di SK Tok Deh, SK Kedai Tanjong (47), SK Gual Periok (544), Masjid Mukim Padang Licin (69), PPS Putat Tujoh (157), SK Kubang Kual (256) dan SK Sri Kiambang (234).
Sementara di Perak, jumlah mangsa banjir menurun kepada 89 orang daripada 21 keluarga, berbanding 92 daripada 22 keluarga setakat pagi kelmarin.
Sekretariat JPBN memaklumkan kesemua mangsa berlindung di tiga PPS yang masih dibuka, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Abd Rahman Talib di daerah Hilir Perak; SK Padang Serai daerah Manjung dan Dewan Orang Ramai Kg Tebing Tinggi di daerah Kampar. - Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg