KUALA LUMPUR: Malaysia tidak akan mengenakan sekatan pergerakan buat masa ini walaupun terdapat lonjakan kes Covid-19 baru-baru ini, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob pada Sabtu (3 Okt). Menurutnya, peningkatan kes itu disumbang oleh negeri tertentu, bukan seluruh negara. "Pada Jumaat, 287 kes dilaporkan tetapi negeri dengan bilangan besar kes adalah Sabah, Kedah dan Selangor sementara negeri lain mempunyai antara satu dengan tiga kes. "Ada 129 kes yang dilaporkan di Kedah tetapi 128 daripadanya adalah dari penjara manakala di Sabah, beberapa kes melibatkan pendatang yang tidak didokumentasikan. "Situasi ini tidak teruk dan kami tidak akan melaksanakan MCO (Perintah Kawalan Pergerakan) sekali lagi di serata negara," katanya. Sebaliknya, Datuk Seri Ismail Sabri berkata kerajaan akan memberi tumpuan kepada kawasan yang diklasifikasikan sebagai zon merah dan bukannya seluruh negeri atau daerah. Ditanya apakah larangan perjalanan antara negeri akan diperkenalkan, Datuk Ismail Sabri berkata ia tidak akan dilakukan. "Tidak ada keperluan untuk menghalang perjalanan antara negeri," katanya. Ditanya mengenai keputusan untuk tidak mengenakan kuarantin wajib bagi mereka yang pulang dari Sabah dan diuji negatif, berbanding dengan mereka yang pulang dari luar negara, Datuk Ismail Sabri berkata perjalanan dari Sabah masih dianggap sebagai perjalanan antara negeri. "Bagi mereka yang pulang dari luar negara, kami tidak tidak tahu sejarah perjalanan mereka dan sama ada tempat asal mereka dianggap sebagai zon merah atau sebaliknya. "Tambahan pula, kami tidak dapat melakukan penjejakan bagi mereka yang pulang dari luar negara kerana kami tidak akan mempunyai cara untuk mengetahui siapa mereka temui oleh itu adalah penting bagi mereka menjalani kuarantin wajib 14 hari," tambahnya.

Sementara itu, Malaysia pada Sabtu melaporkan 317 kes Covid-19 baru, bilangan sehari paling tinggi sejak penularan koronavirus itu sejauh ini.

Semua kes itu merupakan jangkitan setempat. - THE STAR/ASIA NEWS NETWORK