Topic followed successfully
Go to BHkuTiga beradik maut kena kejutan elektrik ketika banjir
Tiga beradik maut kena kejutan elektrik ketika banjir
Tiga beradik maut kena kejutan elektrik ketika banjir

TUMPAT (Kelantan): Tiga beradik perempuan dipercayai mati akibat terkena renjatan elektrik ketika banjir di Kampung Bendang Surau, dekat Morak, di sini.
Mayat ketiga-tiga beradik itu ditemui terapung di luar rumah mereka, menurut laporan Astro kelmarin, yang memetik sumber polis sebagai berkata.
Salah seorang daripadanya ditemui memeluk tiang di hadapan rumahnya semasa banjir itu apabila beliau dikatakan terkena renjatan elektrik.
Sementara dua beradik lagi berdiri di sebelahnya.
Kejadian berlaku sekitar 11.45 pagi, menurut laporan Astro Awani.
Akhbar Berita Harian Malaysia (BHM) melaporkan, tragedi kehilangan tiga anak perempuan secara serentak itu amat menyayat hati dan sukar ditanggung oleh orang tua mereka.
Tidak hairanlah Encik Mohd Nadzir Mohamad, 67 tahun, tidak dapat menahan sebak mengenangkan nasib menimpa tiga anak perempuannya itu.
Walaupun reda dengan pemergian tiga anaknya, iaitu Nurul Syazwani, 33 tahun; Sakinah, 29 tahun; dan Noor Fathiah, 27; air mata yang tidak pernah kering di pipi Encik Mohd Nadzir menggambarkan betapa besar kehilangan dirasai bapa lapan anak itu.
Malah, beliau sambil menangis di sisi jenazah, berkali-kali dilihat mengucup tiga anak perempuannya itu sebaik semua jenazah tiba di Masjid Al Ismail di Morak pada 11 malam kelmarin.
"Luluh hati saya melihat tiga anak bergelimpangan dalam air, sedangkan dalam hati berkobar-kobar hendak menerpa ke arah mereka.
"Sebaik bekalan elektrik diputuskan, saya segera menerpa ke arah mereka bertiga.
"Naluri sebagai ayah menyebabkan saya sebak mengenangkan takdir ini, namun dalam masa yang sama menerimanya dengan reda," katanya kepada BHM.
Dalam kejadian pagi kelmarin itu, ketiga beradik perempuan itu terkena renjatan elektrik.
Ini menyebabkan mereka bertiga terjatuh ke dalam air sebelum tubuh menjadi seakan kejang dan mereka meninggal dunia serta-merta.
Terdahulu, jenazah tiga beradik itu tiba di perkarangan Masjid Al Ismaili, selepas proses bedah siasat selesai dijalankan di Hospital Tumpat.
Kira-kira 200 hadir mengiringi jenazah sebaik tiba dengan menaiki tiga van, sebelum disolatkan di masjid sama.
Encik Mohd Nadzir ketika ditanya mengakui tiada perubahan ketara ditunjukkan tiga beradik itu, kecuali layanan mereka lebih mesra terhadapnya terutama Nurul Syazwani dan Noor Fathiah, kebelakangan ini.
Jenazah tiga beradik itu selamat dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Kampung Morak pada 11.45 malam kelmarin.
Encik Mohd Nadzir berkata imej tiga anaknya yang terbaring dalam air masih terbayang di matanya, dan beliau tidak pasti sama ada mampu ataupun tidak melupakan detik itu. - Agensi berita.

