Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tiga dalang 911 setuju akui bersalah bagi elak hukuman mati

Aug 1, 2024 | 11:54 AM
Tiga lelaki yang dituduh merancang serangan 11 September 2001,  telah bersetuju untuk mengaku bersalah atas tuduhan konspirasi, sebagai pertukaran hukuman penjara seumur hidup.
Tiga lelaki yang dituduh merancang serangan 11 September 2001, telah bersetuju untuk mengaku bersalah atas tuduhan konspirasi, sebagai pertukaran hukuman penjara seumur hidup. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Tiga orang yang dikatakan perancang serangan 11 September 2001, termasuk suspek dalangnya, Khalid Sheikh Mohammed, telah bersetuju untuk mengaku bersalah, kata Pentagon pada 31 Julai.

Pentagon tidak menjelaskan lebih lanjut mengenai perjanjian pengakuan tiga orang yang ditahan di penjara tentera Amerika Syarikat di Teluk Guantanamo, Cuba, itu.

Seorang pegawai Amerika berkata, dengan syarat namanya tidak disiarkan, bahawa perjanjian itu hampir pasti melibatkan pengakuan bersalah sebagai pertukaran bagi membatalkan hukuman mati.

Pegawai itu berkata syarat perjanjian tersebut tidak didedahkan secara terbuka, tetapi mungkin melibatkan pengakuan bagi dikenakan hukuman penjara seumur hidup.

Mohammed ialah banduan paling terkenal di kemudahan tahanan di Teluk Guantanamo, yang ditubuhkan pada 2002 oleh Amerika.

Presiden Amerika ketika itu, Encik George W. Bush, menempatkan suspek militan asing di situ berikutan serangan ke atas Amerika pada 11 September 2001.

Bilangan tahanan di pusat itu meningkat hingga mencapai 800 orang tetapi kemudian mula berkurangan dan hari ini terdapat 30 orang.

Mohammed dituduh mendalangi serangan menggunakan pesawat penumpang komersial yang dirampas ke atas Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York City dan ke Pentagon.

Serangan 9/11 itu membunuh hampir 3,000 orang dan menjerumuskan Amerika ke dalam apa yang akan menjadi perang selama dua dekad di Afghanistan.

Mohammed didakwa atas jenayah perang dan pembunuhan hampir 3,000 orang yang terkorban dalam serangan tersebut.

Dia ditangkap di Pakistan pada 2003 dan ditahan bersama tahanan Al-Qaeda yang lain di Guantanamo.

Peguam bela bagi tahanan di Guantanamo mengkritik pemerintah Amerika bagi kelewatan bertahun-tahun perbicaraan.

Beberapa peguam mengaitkan penangguhan itu kepada usaha pemerintah menutup butiran penyeksaan tahanan di penjara rahsia Agensi Risik Pusat (CIA) Amerika sebelum mereka dipindahkan ke Guantanamo.

Pendakwa raya tentera pula menyalahkan peguam pembelaan atas kelewatan tersebut, dengan berkata mereka memfailkan sejumlah besar usul mencabar keterangan pemerintah.

Menurut kenyataan Pentagon, perjanjian pengakuan turut dicapai bersama dua lagi tahanan, Walid Muhammad Salih Mubarak Bin ‘Attash dan Mustafa Ahmed Adam al Hawsawi. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg